Remaja 13 tahun dakwa nyaris diculik 3 lelaki menaiki 'van putih'

Loading...

Seorang remaja lelaki berusia 13 mendakwa dia nyaris menjadi mangsa culik 'van putih', bagaimanapun berjaya melepaskan diri selepas bergelut dengan penculik berkenaan, lapor Harian Metro

Dalam kejadian yang jam 12 tengah hari Jumaat lalu, pelajar berkenaan yang hanya dikenali sebagai Megat, mendakwa dia sedang menunggu bas di Pandan Indah, sebelum didatangi tiga lelaki yang menaiki kenderaan jenis van berwarna putih. 

Berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa, dua daripada suspek telah menariknya ke dalam van, sementara seorang lagi suspek sedang menunggu di tempat duduk pemandu.

Selepas 10 minit perjalanan, Megat bertindak menggigit tangan salah seorang suspek yang berada di sebelahnya sebelum pemandu van memberhentikan kenderaan. 

Sebaik saja pintu sisi van dibuka, Megat terus menendang pemandu van terbabit dan segera melarikan diri serta menaiki bas ke sekolah sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah berhubung kejadian itu. 

"Tiba-tiba sebuah van putih berhenti di bus stop. Kemudian keluar dua lelaki telah menarik saya masuk ke dalam van tersebut. 

"Kira-kira 10 minit kemudian, saya telah nampak signboard Pandan Jaya dan bus stop Pandan Jaya, kemudian saya telah menggigit tangan lelaki yang duduk di sebelah saya. 

"Pemandu van tersebut telah memberhentikan van. Salah seorang daripada mereka keluar dan membuka pintu van. Semasa dia membuka pintu, saya telah menendangnya dan terus melarikan diri ke bus stop dan menaiki bas Rapid ke SMK Pandan Indah," katanya dalam laporan polis tersebut.



Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada mangsa, tetapi masih belum dapat memastikan kesahihan kejadian itu. 

"Pihak kami masih menyiasat dan sehingga kini tiada saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dapat membantu.


‎"Luka yang dialami tiada kaitan dengan kejadian culik. Bagaimanapun, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan," katanya.

Difahamkan, tangan mangsa cedera akibat terlanggar pintu sekolah dan telah dirawat di Hospital Ampang.