Suami sebut lafaz cerai talak 3 secara bergurau, namun mahkamah putuskan jatuh talak

Loading...

Dalam bergurau, ada batasnya. Begitu juga apabila bergurau mengenai hubungan suami isteri, sebaik-baiknya tidak keterlaluan sehingga meruntuhnya masjid sendiri. 

Tersalah gurauan, isteri yang menjadi mangsa gurauan. Sebab itu pasangan beragama Islam sentiasa diingatkan untuk tidak menjadikan cerai dan talak sebagai gurauan. Malah perkara ini ada ditekankan dalam kursus kahwin, ianya tidak boleh dibuat main-main. 


Memetik Soalan dan Jawapan dari laman web Mufti Wilayah Persekutuan berhubung perkara berkenaan:

SOALAN:

"Assalamualaikum wbt,

Saya memohon pencerahan daripada ustaz. Saya ada bercerita dengan isteri berkenaan sepasang suami isteri yang bernikah selepas berpisah daripada pasangan masing-masing. 

Saya ada sebut macam ini, "Mungkin macam ni kot lelaki itu kata, kau bercerai dengan suami kau, aku bercerai dengan ister aku. Lepas itu kita kahwin." 

Soalan saya, adakah jatuh talak terhadap isteri saya selepas saya lafazkan ayat tadi? Oleh kerana saya runsing tentang hal ini, saya terus lafaz "Abang rujuk mama semula". Adakah ini boleh menyambung semula ikatan seandainya jatuh talak?"

JAWAPAN:

Alhamdulillah, segala puji bagi-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat serta yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari kesudahan.

Pada asalnya, lafaz talak yang jelas itu menjatuhkan talak, sekalipun tanpa niat. Ini termasuklah menyebut perkataan cerai. Manakala, lafaz talak yang kinayah (tidak jelas, kiasan), tidak menjatuhkan talak melainkan jika disertakan niat  ketika ucapan itu disebut.

Ini berdasarkan sebuah hadis hukum yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: Tiga perkara yang dilakukan secara bersungguh menjadi sah, dan secara gurauan juga akan menjadi sah; nikah, talak dan rujuk.

Riwayat Abu Daud  (2194). Syeikh Syuaib berkata hadis ini hasan li ghairih.

Namun begitu ulama menjelaskan terdapat enam keadaan suami yang melafazkan talaq secara sarih tidak menjatuhkan talaq:
  1. Orang yang tidur
  2. Orang yang gila
  3. Orang yang sabq al-lisan (terlepas cakap).
  4. Orang yang menyeru; yakni jika seseorang itu memiliki isteri yang bernama “Taliq” yang bermaksud orang yang diceraikan.
  5. Penggunaan lafaz yang tidak difahami
  6. Dipaksa dan mabuk atas sebab uzur 

Pada menghuraikan keadaan yang ketiga, kami memetik kenyataan daripada kitab al-Muʿtamad fi al-Fqh al-Syafie (4/164) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili:

“Jika seseorang lelaki terlepas cakap melafazkan talak tanpa berniatkan makna bagi huruf-huruf talaq, maka lagha, tidak jatuh talak. Begitu juga jika seseorang melafaz talak kerana menceritakan kisah orang lain, atau seorang ahli fiqh yang berulang-kali menyebut talak dalam pengajaran dan contoh yang diberi, maka lagha juga, kerana tiada niat.”

Justeru tidak jatuh talak bagi keadaan seperti yang diceritakan oleh penanya diatas dan tidak perlu dirujuk. Wallahua’lam.