'Abang ni peniaga jujur dik' - Pengasas Lemonex tampil beri penjelasan dan dakwa ada pihak ambil kesempatan

Loading...

"Abang ni peniaga jujur dik," demikian kenyataan pengasas Lemonex, Syukor Majid susulan viralnya surat amaran kepada salah seorang pengedar produk tersebut di media sosial. 

Syukor mendakwa, ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah membuat produk tiruan yang sama seperti produknya. Katanya, tindakan pihak berkenaan bukan sahaja telah merosak nama syarikatnya, malah merosakkan jenama produknya di pasaran. 

"Yang tak jujur itu orang yang buat produk tiruan, yang menjual produk tiruan dan yang membeli produk tiruan. Merosakkan nama produk, merosakkan nama BOT Holdings Berhad, merosakkan nama abang, merosakkan pasaran. 

"Ingat tahu, Lemonex Original ini tiada kandungan terlarang seperti Sibutramine dan segala mak nenek bahan berbahaya. 

"Lemonex selamat digunakan. Kalau tak selamat, tak adalah kilang abang dapat approval untuk buat produk ini. Kilang abang ini berlesen, lengkap dengan GMP, HACCP, MESTI, ISO: 22000. Bukannya buat produk di belakang rumah. 

"Yang tidak selamat itu adalah Lemonex tiruan. Yang murah-murah itu, yang membeli pun, pergi cari yang murah. Dapat yang tiruan, padan muka," katanya yang juga mendakwa kini sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk membanteras produk-produk tiruan yang membahayakan kesihatan orang ramai. 

Gambar dokumen yang dikongsi Syukor Majid

Gambar dokumen yang dikongsi Syukor Majid

Syukor juga kesal mendakwa, usahanya membangunkan Lemonex sehingga jutaan ringgit dihabiskan, dianiaya  oleh pihak yang mengambil kesempatan ke atasnya. 

"Kami separuh mati hidupkan Lemonex, habis berjuta duit, diorang suka-suka hati ambil kesempatan ke atas insan lemah seperti abang ni. Korang tunggulah pihak berwajib datang serang, baru kau tahu langit itu tinggi ke rendah. Kahkah," katanya dalam status yang dimuat naik pada 6 Februari lalu. 

Status terkini yang dimuat naik sejam yang lalu menegaskan bahawa, produknya itu hanya ada masalah pada risalah testimoni dan kenyataan tuntutan pada botol produk. 

"Bukan disebabkan ada sibutramine. Sekarang dah tiada lagi risalah dalam botol. Tiada lagi isu dan KKM benarkan berniaga seperti biasa. 

"Lemonex juga dikelaskan sebagai makanan dan tidak perlu berdaftar dengan NPRA. Sebab itu tak ada MAL dan tiada dalam senarai Quest3. 

"Sudah 10 tahun abang dalam industri. Abang bukan berniaga produk timbang kilo dik. Kilang abang berstatus GMP, HACCP, MESTI dan ISO:22000," katanya. 


Laporan telah dibuat dan gambar beberapa laman Facebook yang didakwa telah memfitnahnya.

Difahamkan, Syukor juga telah membuat laporan polis berhubung viral itu dan akan membuat sidang media dalam masa terdekat untuk memberi penjelasan kepada semua pihak. 

Dalam masa yang sama meminta semua pihak tidak menyebarkan fitnah yang bertujuan memburukkan perniagaannya itu. 

BERITA BERKAITAN: