'Baru nak follow up, rupanya dah meninggal semalam' - Akibat gemar membeli produk 'kesihatan' secara online tanpa usul periksa


Pelbagai produk kesihatan dijual di media sosial melalui ejen-ejen pemasarannya. Ada produk-produk yang langsung tidak pernah dilihat atau dengar, dengan membuat pelbagai tuntutan bahawa produk mereka bagus, boleh menyembuhkan penyakit dan sebagainya.

Tetapi selamatkah produk berkenaan untuk dimakan, diminum atau digunakan? Dalam dua kes yang dikongsikan oleh pegawai perubatan ini, sedikit sebanyak mendedahkan betapa bahayanya pengambil produk-produk kesihatan yang dijual secara online tanpa diketahui asal usulnya.

SAYA jarang bercerita perihal pesakit sebab saya bukan orang yang selayaknya untuk bercerita. Tetapi hari ini saya nak kongsi sikit sebab saya rasa penting untuk pengajaran kita bersama. 

Khamis lalu, ada seorang pakcik berusia lingkungan 50-an dimasukkan ke ICU disebabkan pendarahan di perut dan usus. Dia datang ke hospital sebab batuk dan berak berdarah di rumah. Kami beri ubat yang berharga beribu-ribu dengan harapan pendarahan berhenti. 

Apabila ditanya pada anaknya, anaknya memberitahu ayahnya sudah berbulan-bulan gemar membeli supplement, kopi campuran, teh herba dan sebagainya secara online untuk tujuan kesihatan. Hari ini saya datang nak follow up, rupanya sudah meninggal dunia semalam. Okay, saya tinggalkan bed itu, ikut specialist round. 

Sampai-sampai saja saya ke katil seterusnya, specialist beritahu saya, "Pah, patient ni makan sibutramine.". Saya pun terpinga-pinga sekejap, setahu saya sibutramine itu haram, tak boleh jual. Pesakit wanita 30-an, sudah berbulan-bulan sesak nafas, bengkak kaki dan dengan simptom-simptom lain kegagalan fungsi jantung.

Apabila ditanya pada suami, pesakit ada makan beberapa produk menguruskan badan. Salah satu adalah sibutramine yang sudah diharamkan penggunaannya. Katanya beli daripada kawan dan si isteri itu tahu yang ubat itu adalah berbahaya tetapi tetap dimakan secara sorok-sorok daripada suami.

Bila buat medical investigation, otot jantung pesakit sudah menebal, menyebabkan kegagalan jantung serta komplikasi lain cardioembolic stroke dan kegagalan buah pinggang. Produk yang dia makan buatan negara seberang itu terang-terang dinyatakan ada sibutramine, senang kita kesan.

Di pasaran kita, berlambak-lambak produk menguruskan badan yang mengandungi sibutramine berselindungkan topeng herba, topeng acai beri itu macam mana pula?

Saya nak pesan, kalau anda makan produk-produk kurus ini, kalau rasa berdebar-debar, pening, berpeluh, tekanan darah tinggi, penat, sesak nafas ke, itu bukan maknanya kadar metabolisma anda meningkat, itu maknanya anda kena insoff dan segera berjumpa dengan doktor. Jangan sampai jadi arwah.


Dulu saya pernah cerita tentang ubat tranexamix  acid (ubat untuk hentikan pendarahan) dijual secara berleluasa di Facebook untuk memutihkan kulit dan kesan-kesan jangka panjang. Hari ini saya dapat screenshot iklan supplement yang perlu diberikan kepada anak-anak seawal umur enam bulan supaya kulit anak glowing.

Soalan saya, kegilaan apakah masyarakat kita?

Sumber: Afifah Azhari