'Bila saksikan filem Badang, letakkan diri anda sebagai kanak-kanak'

Loading...

Baru beberapa hari filem Badang yang dilakonkan oleh Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman ditayangkan di pawagam, namun ia menerima banyak reaksi negatif dari netizen di media sosial. 

Dalam laporan Harian Metro semalam, pengarah filem berkenaan, Datuk Profesor Dr. A Razak Mohaideen berkata, beliau percaya bahawa komen-komen negatif itu timbul kerana ada segelintir netizen yang kurang menggemari Aliff Syukri. 

"Ramai yang mengutuk sebenarnya belum menonton filem itu dan membuat komen berdasarkan andaian saja. Ada juga hanya disebabkan kurang suka dengan perwatakan sebenar Aliff," katanya. 

Menjawab kenyataan segelintir pihak yang mendakwa filem Badang tidak berkualiti, beliau menjelaskan sasaran penonton filem itu adalah kanak-kanak. 

"Oleh itu, jalan cerita Badang tidak boleh berat dan perlu mengandungi elemen disukai kanak-kanak. Apabila menyaksikan filem itu, cuba letak diri (anda) sebagai kanak-kanak," katanya.

Dalam kenyataan yang sama, Razak juga turut menafikan Aliff Syukri melaburkan wang untuk menghasilkan filem terbitan FiTA Studios dan UiTM Holdings itu seperti yang didakwa pihak tertentu. 

"Ada orang ingat Aliff bayar kami untuk buat filem itu. Sebaliknya, pihak kami yang membayar dia untuk berlakon. Biasalah apabila menghasilkan filem bukan semua boleh terima dan pasti ada macam-macam perkara timbul," katanya.

Filem Badang turut dibintang oleh Fasha Sandha, Fauzi Nawawi, Fareez Fauzi dan Azhari Zain. 

Semakan di iMDB mendapati, filem Badang menerima rating 1.7/10 sahaja.
Sementara itu, Nazher Khan, yang telah menonton filem itu berkongsikan pandangannya di Facebook group Movie Addict. 

"3.5/10. Sebuah kisah 'adiwira' yang dungu dan bebal. Skrip syok sendiri. Pacing ke laut. Filem ini tak ada arah tuju dan plot. Voice-over dubbing pun kena jerit-jerit. 

"Aliff Syukri berlakon menjadi dirinya sendiri which is totally wrong! Dialog pun level drama waktu maghrib TV3 which is a fricking soap opera punya level. 

"Fasha Sandha berlakon pun macam tak nak berlakon. Fauzi Nawawi throw some good dialogue and pun (lemang basi, etc). Pelakon-pelakon tambahan pun berlakon over reacting tahap cringed, cuba nak tiru gaya KL Gangster tetapi gagal. 

"Kesan CGI yang sememangnya fake dan renderingnya pula macam kerja student baru nak belajar kesan khas. 


"Secara keseluruhan, Badang adalah sebuah 'mindless entertainment punya cerita di mana untuk menikmati filem seperti ini, anda dinasihatkan untuk meninggalkan akal fikiran dan jiwa anda di luar panggung wayang," tulisnya.