BR1M adalah idea Bank Negara, bukan untuk raih undi rakyat

Loading...

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendedahkan, pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk rakyat berpendapatan rendah yang didakwa pembangkang kononnya untuk 'membeli' undi adalah tidak benar. 

Bercakap di depan kira-kira 2,000 penerima BR1M, Najib berkata, bantuan itu merupakan idea Bank Negara Malaysia (BNM) yang bukan bersifat kepartian politik dalam usaha membolehkan kaedah subsidi bersasar dilakukan. 

"Idea nak buat BR1M ini bukan dari saya, bukan dari mana-mana orang politik tetapi dari BNM, yang tak ada soal kepartian sama sekali tetapi BNM mencadangkan bahawa kaedah subsidi bersasar adalah lebih baik daripada subsidi pukal.

"Subsidi pukal banyak ketirisannya. Misalnya, kalau kita bagi subsidi mungkin dia boleh jual di sempadan kepada orang lain, mungkin pekerja asing akan dapat, pelancong boleh dapat, jadi banyak ketirisan.

"Keduanya, orang yang sepatutnya menerima subsidi secara relatifnya mendapat kurang berbanding orang yang tinggi kemampuan, contohnya petrol RON95. Orang berkereta besar mendapat manfaat lebih daripada mereka yang memandu Proton Saga atau Myvi," katanya.

Najib yang juga menteri kewangan berkata, sudah sampai masanya untuk kerajaan membuat perubahan dasar yang memberi manfaat besar kepada rakyat melalui pemberian BR1M.

Justeru, katanya, BR1M dilaksanakan pada 2012 dengan bantuan RM500 yang memanfaatkan hampir 4.1 juta penerima sebelum dinaikkan kepada RM1,000 pada 2016 dan RM1,200 pada 2017.

“Janji kita 5 tahun dahulu dalam manifesto Barisan Nasional (BN), kita akan naikkan BR1M kepada RM1,200 dan dalam jangka masa ini, janji telah ditepati. Kita tidak akan membuat janji, kalau kita fikir tidak boleh ditunaikan.

“Saya takkan keluarkan kenyataan sesuatu manifesto itu kita kaji semula…ada orang buat kenyataan bukan nak tepati, nak kaji semula 60% daripada manifesto. Apa guna manifesto yang mana janji kita takkan tunaikan,” kata perdana menteri.

Beliau berkata, sehingga hari ini, kerajaan BN berjaya menunaikan 97.6% janji dalam manifesto pada PRU lepas.

Najib berkata, BR1M yang menjadi antara pertanyaan popular pengguna media sosial setiap kali beliau memuat naik pelbagai status di Facebook dan Twitternya turut membantu merangsang ekonomi negara.

"Apabila kita dapat BR1M, kita gunakan untuk membeli barang-barang asas seperti beras, gula, susu dan pakaian sekolah, ini merangsang ekonomi domestik.

"BR1M tidak salah dari segi teori ekonomi. Ia bukan bersifat populis tetapi asasnya untuk kembangkan ekonomi," katanya.

Beliau turut menempelak pihak yang hanya pandai mengkritik pemberian BR1M, tetapi tidak memberi sebarang cadangan berhubung kaedah lebih baik dalam menyampaikan subsidi.

Katanya, pihaknya bersedia menimbang sebarang cadangan untuk dilaksanakan demi kepentingan rakyat dan negara.

“Kalau nak kata dedak atau ‘cash is king’, ini mengarut sebab zaman dia dahulu tidak buat, kita kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan rakyat.”

Pengagihan BR1M 2018 yang melibatkan peruntukan RM6.3 bilion untuk kira-kira 7 juta penerima di seluruh negara akan dilakukan dalam 3 fasa.

Bayaran pertama BR1M mulai esok, manakala fasa ke-2 dan ke-3 bakal dibuat pada Jun dan Ogos nanti.