Caj beg plastik 20 sen tidak akan diteruskan jika BN berjaya tawan Selangor di PRU14


Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menyatakan Barisan Nasional (BN) bersedia untuk mengkaji semula dasar penggunaan beg plastik sekiranya berjaya menawan kembali negeri Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), lapor Sinar Harian

Beliau mendakwa, dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Selangor dengan menggenakan caj beg plastik sebanyak 20 sen hanya menyusahkan rakyat dan menguntungkan sesetengah pihak sahaja. 

"Setiap kali membeli barangan, pembeli dikenakan caj 20 sen sekiranya ingin mendapatkan beg plastik. Malah, caj ini tidak termasuk dalam resit pembeli dan ia menimbulkan tanda tanya ke mana perginya duit itu," katanya. 

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pihak pasar raya dan peniaga perlu memainkan peranan bersama dalam usaha mengurangkan penggunaan beg plastik. 

"Peniaga seharusnya memberi 20 sen kepada pembeli yang membawa beg sendiri dari rumah dan bukannya mengenakan caj itu kepada pelanggan. Melalui cara ini, ia akan memberi kesedaran kepada pembeli betapa bahayanya beg plastik yang menjadi penyebab pencemaran alam sekitar.

"Kalau kita hendak menggalakkan rakyat untuk menghapuskan beg plastik ini, sekiranya setakat denda 20 sen sahaja itu tidak akan berjaya," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan BN Selangor, Datuk Satim Diman berkata, BN Selangor berjanji tidak akan meneruskan caj beg plastik itu sekiranya menang di Selangor pada PRU14. 

"Ini salah satu manifesto kerajaan BN. Dapat balik kerajaan BN Selangor, semua tak payah bayar lagi plastik. Mahu tak mahu?" katanya yang turut mencabar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali supaya membina kilang plastiknya sendiri tanpa mengenakan caj tambahan 20 sen kepada penduduk Selangor. 

"Kalau betul dia (Azmin) menjaga kebajikan anak muda, dia bukalah kilang dekat sini dan kalau saya dekat sini (Sg Pelek), saya buka kilang plastik. 

"Kilang plastik kepunyaan kerajaan negeri Selangor, jadi kita pergi kedai tak payah beli plastik. Ini sudah beli barang, ditanya pula nak beli plastik atau tidak. Kalau mahu, 20 sen. Apa punya kerajaan ini?


"Sepatutnya dia tak payah caj 20 sen. Dia bina saja kilang dan beri percuma itu plastik. Inilah kerajaan Pakatan Harapan, mahu pilih lagi?" katanya memetik laporan dari MalaysiaKini yang disiarkan 18 Februari 2018.