Ibu biarkan teman lelaki cabul dan liwat 2 anak perempuannya

Loading...

Tergamak seorang ibu yang sanggup membiarkan teman lelakinya mencabul dan meliwat dua orang anak perempuannya sehingga menyebabkan dua beradik itu trauma, lapor Harian Metro

Dalam kejadian di kediaman mereka di Kuala Lumpur sejak sebulan lalu, wanita berusia 36 tahun itu juga menunjukkan contoh yang tidak baik kepada anak-anaknya apabila bersekedudukan dengan suspek sejak setahun lalu. 

Berdasarkan sumber polis, mangsa berusia 14 dan 17 tahun yang masih bersekolah tinggal di rumah berkenaan selepas ibu bapa mereka bercerai sejak beberapa tahun lalu. 

"Suspek kebiasaannya akan mengambil kesempatan mencabul dan meliwat mangssa apabila ibu mereka keluar bekerja atau tiada di rumah. 

"Tindakan tidak bermoral itu berlaku berulang kali, namun suspek berusia 38 tahun memberi amaran akan mencederakan mereka jika perkara terbabit terbongkar," katanya. 

Selain itu, dua beradik berkenaan juga pernah dipukul oleh suspek beberapa bulan lalu sehingga menyebabkan kecederaan dan difahamkan mangsa pernah melaporkan kejadian itu kepada polis. 

Bagaimanapun, suspek tetap mengulangi perbuatannya sehingga mangsa yang sudah tidak tahan lagi diperlakukan seperti itu mengambil keputusan untuk memberitahu bapa saudaranya mengenai kejadian itu sebelum mengambil tindakan lanjut. 

"Bapa saudara mangsa terus membuat laporan polis berkaitan kejadian terbabit dan menyelamatkan mangsa bagi mengelak berlaku kejadian yang tidak diingini," katanya. 

Mangsa sebelum ini pernah menceritakan kejadian itu kepada ibunya, malangnya wanita berkenaan tidak mempercayai dan menganggap mangsa hanya mereka cerita sahaja. 

"Berikutan itu, polis sudah menahan suspek berkenaan untuk tindakan lanjut manakala mangsa dihantar ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan," katanya.