'Kalau tiada bakat, kenapa diberi tawaran berlakon?' - Aliff Syukri

Loading...

Kata orang, terimalah kritikan dan anggap ia sebagai pandangan bagi meningkatkan mutu lakonan di masa akan datang. Akan tetapi pelakon utama filem Badang, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman enggan mengalah, malah menjawab kritikan semua termasuk pelakon Amyza Aznan baru-baru ini. 

Dalam laporan Sinar Harian semalam, Aliff Syukri memohon maaf kepada semua pelakon-pelakon hebat yang berasa kurang senang dengan kehadirannya dalam bidang seni lakonan. 

Bagaimanapun menjelaskan bahawa, dia menerima tawaran berlakon dalam filem itu setelah ditawarkan sendiri oleh pengarahnya. 

"Untuk pengetahuan semua, saya tidak mengeluarkan duit sesen pun untuk filem ini. Malah saya menerima bayaran sebagai pelakon seperti pelakon yang lain. Itu sahaja. 

"Saya bukan penerbit, saya bukan pengarah, saya tak bayar apa pun untuk filem ini. Saya hanya pelakon sahaja. Jadi tidak wajar jika saya seorang yang kena. 

"Setakat ini saya sudah berlakon enam buah drama, malah cerita Ooops! Terlajak Nikah, Toyol Ke London antara drama lakonan saya yang mencapai rating tertinggi di Astro. 

"Kemudian saya juga dicalonkan untuk Artis Lawak MeleTOP, Realiti Show MeleTOP. Jadi adakah itu bermakna saya tidak punya bakat? 


"Kenapa juga sebelum ini tak ada pula orang mempertikaikan bakat lakonan saya? Tiba-tiba dengan filem Badang ini saya pula dipersalahkan seorang. Seolah-olah saya ini kayu, macam saya ini hina sangat. Penghinaan itu melampau-lampau.

"Jika ada orang yang menawarkan kepada saya berlakon, apa salahnya jika saya terima cuma kali ini saya akan lebih berhati-hati," katanya.