'Kamu perlu ada anak perempuan dulu baru tahu apa itu erti menjadi seorang bapa'

Loading...

"Jadi bagi aku, anak perempuan adalah macam harta yang kita pinjam. Kebiasaan barang yang kita pinjam, kita kena  jaga elok- elok supaya bila kita pulangkan, barang itu masih elok."

Pepatah lama ada mengatakan menjaga anak perempuan lebih sukar dari menjaga 100 ekor lembu. Perumpamaan ini benar kerana di zaman teknologi yang serba canggih ini cabaran membesarkan anak-anak, terutamanya anak perempuan sangat tinggi. Ironinya, ibu bapa perlu ada ilmu dan kesedaran yang cukup untuk mendidik anak-anak agar menjadi anak dan bakal isteri yang solehah.

Perkara ini diakui dan dikongsi oleh Mangkuk Hayun melalui status di Facebook. Bukan mudah baginya untuk membesarkan anak perempuan. Tindakannya yang mengambil cakna perihal anak perempuannya dipuji netizen.

KAMU PERLU ADA ANAK PEREMPUAN DULU BARU TAHU APA ITU ERTI MENJADI SEORANG BAPA

Anak pertama aku adalah lelaki. Ingat lagi betapa terujanya aku bila dia keluar.  Sekarang aku sudah bergelar bapa. Rupa-rupanya belum lagi. 

Bila keluar Husna baru tiba-tiba aku tersentak. Baru aku nampak. Ini kerja susah ni. Kemudian Ameena pulak. Ya Allah mati aku. Berganda-ganda. Botak aku.

Kenapa Jaga Anak Lelaki Lagi Senang?

Budak lelaki senang. Kecik-kecik mereka memang nakal, pecah rumah, kerap buat aksi, cedera, patah, luka itu perkara biasa. Tapi kamu boleh marah, hukum atau pukul kalau perlu untuk didik mereka. Mereka mendengar perkara logik sebagai contoh Jahat = Tampar dan baik = Tidak Tampar. Berbanding dengan anak perempuan, cakap lambat, baca lambat, cerdik, lambat tetapi kalau besar-besar dia skor, senang nak masuk universiti sebab ada kuota lelaki. 

Secara asasnya matlamat kita  adalah untuk menjadikan dia seorang yg matang, beriman, berdikari dan fizikal yang kuat kerana suatu hari mereka  akan menjadi ketua keluarga dia sendiri.

Anak Perempuan Hanyalah Pinjaman

Memang banyak benda yang gembira bila dapat anak perempuan.  Sebagai contoh dari kecil lagi pakai pampers lagi, tetapi kamu sudah boleh diajak bersembang mengumpat, dia sayang bapa lebih, manja lagi, pandai belajar, rajin jaga adik, lurus bendul jadi senang disakat dengan aku.

Tetapi  satu hari, masa aku tengah main-main peluk cium Husna, semasa dia kecil  dulu, tiba-tiba aku terfikir, siapa yang akan kahwin dengan dia nanti. Kalau suami dia perangai buruk macam aku, macam mana?  Atau macam mana  kalau terbalik, anak aku pulak yang jadi isteri yang tidak solehah? Sudahh!

Jadi, terima la kenyataan. Anak lelaki akan sentiasa menjadi hak kita sampai mati. Tetapi anak perempuan hanya jadi hak bapa sampai dia kahwin sahaja. Selepas itu kita terpaksa melepaskan tangan.

Jadi bagi aku, anak perempuan adalah macam harta yang kita pinjam. Kebiasaan barang yang kita pinjam, kita kena  jaga elok- elok supaya bila kita pulangkan, barang itu masih elok.

Sama macam anak perempuan. Tuan punya dia yang sebenarnya, yang hakiki, adalah bakal suami dia. Bukan aku. Aku hanyalah penjaga amanah. Jadi sementara bawah jagaan aku ni, aku kena pastikan tidak cacat anggota tubuh badannya, terjaga kesihatannya, cukup pembelajaranya dan paling penting,  teguh pada agamanya.

Cabarannya

Dan itu semuanya bukan benda yang mudah. Setiap kali mereka terjatuh, melompat aku pergi tolong cepat-cepat bimbang terluka, ada parut atau patah. Apabila tidur terkangkang, aku tutup rapatkan kaki takut vagina masuk angin. Bila berjalan-jalan, aku perhatikan mata-mata org lelaki yang memandang anak dara aku, sesiapa yang perhatikan lebih, aku pulak akan perhatikan mereka dengan muka bengis aku. 

Selepas tu kalau mereka buat salah, kadang-kadang, marah-marah sahaja tidak jadi. Mahu dipukul tidak sampai hati. Air mata menjadi senjata mereka. Selepas tu disusuli pula dengan merajuk. Baru aku terasa benarnya hadith wanita ni macam tulang rusuk. Mahu luruskan silap-silap, patah.
Selepas tu semakin mereka membesar, personaliti mereka semakin sukar diramal. 

Hormon sudah datang. Mula banyak berangan. Suka tengok cerita Korea. Minat Shawn Mendes atau nauzubillah Biber.  Tiba-tiba sahaja emosi terganggu tanpa sebab yang munasabah. Sabar sahaja la aku. Tidak perlu di layan. Aku tahu dia bukan marah pada aku.  Tidak perlu la kita sebagai ibu bapa berhati tisu, mudah terasa. Dia tengah bergaduh dengan ovari dia sendiri tu.

Secara fizikal, vagina lebih rumit berbanding penis. Untuk anak lelaki, kamu hanya perlu tanya dia semasa kecil " Bilang telur kamu ada dua ke satu?". Kalau ada dua, selesai. Selepas tu cerita pada dia semasa dia besar sikit, beza antara air mazi yang jernih dan air mani yang macam telur separuh masak. Selesai tanggungjawap bapa.

Teapi vagina adalah satu organ yang jahat. Hanya ada dua je jasa baik vagina untuk wanita. Satu seks. Dua anak. Selain daripada itu, apa-apa yang berlaku pada vagina adalah semuanya perkara buruk. Sebab itu kita ada pakar sakit puan. Beribu-ribu masalah  datang punca daripada situ.

Perkara paling biasa bagi budak-budak adalah adalah UTI (Urinary track infection). Puncanya kencing tidak dibasuh elok atau  hanya secara fizikal terdedah. Beberapa kali Husna atau Ameena mengadu sakit semasa membuang air kecil dan gatal. Aku tidak mahu mendengar. Aku menyuruhnya mengadu pada mama mereka.

Selepas tu, apabila sudah nak matang ni mulalah keluar bermacam cecair. Inilah punca gambar yang aku memuat naik sebelum ini. Husna datang mengadu pada aku kata seluar dalamnya selalu basah. Melompat aku. Sekali lagi, aku tidak mahu mendengar dan menyuruhnya mengadu kepada ibu nya.

Akhirnya aku juga yang perlu ke Mydin beli panty liner ni. Bukan sanitary pad okay untuk lelaki yang tidak tahu. Ini liner. Bukan eye liner!

Oh sebelum lupa. Untuk bapa-bapa yang ada anak perempuan, sila menuntut ilmu dan pelajari macam mana mahu pakai  pad ini daripada isteri-isteri anda. Ini kerana  50:50  semasa anak kamu tiba-tiba  datang haid pertama, isteri kamu tiada di rumah. Kejadian ini berlaku pada kawan aku , isteri dia bekerja di luar kawasan. Padan muka kawan aku. Menggelabah.

Selepas tu, kita selalu kena berjaga-jaga pada perubahan payudara berlaku.  Jadi, jangan tunggu haid datang dibeli. Apabila sudah nampak sikit, pergi beli singlet atau pakaian dalam (bra) anak-anak.  Memaksa mereka bertudung -apabila bertudung, lagi bagus, sekurang-kurangnya akan menutupi lagi bahagian dada. 

Cabaran Masa Depan

Anak aku belum datang bulan lagi. Perjalanan aku selaku bapak kepada anak perempuan masih panjang. Belum masalah cinta lagi, ditipu dengan lelaki,masalah gaduh dengan kawan-kawan.

Masalah yang lagi serius adalah pelajaran anak aku. Adakah dia nanti akan ada peluang untuk menyambung pelajaran, kursus apa yang dia mahu?  Sebab ramai perempuan yang pandai, jadi tempat untuk perempuan di IPTA adalah sangat sengit. Jadi perlu persediaan awal untuk ke universiti swasta sekiranya tidak dapat masuk universiti awam. 

Permasalahan serius, ada ke orang mahu kahwin dengan anak aku ni. Lelaki makin kurang. Lelaki yang berkualiti pula adalah semakin pupus. Timing window pula hanya 24-30. Bahaya ni. Jadi perlu ada perancangan, kalau dia tidak laku nanti adakah dia mahu fokus kerjaya atau bagaimana. Atau mahu ke kami cari carikan di Lazada.

Janji Syurga

Memang di dalam Islam, cabaran untuk menjaga anak perempuan di akui lebih susah. Tetapi lagi besar dugaan, maka lagi besarlah ganjarannya. Banyak  hadith yang mengutamakan tanggung jawab menjaga anak perempuan ni.  Aku petik dua hadis je yg terkesan pada aku:

Daripada Aisyah r.a. Rasulullah saw bersabda,

" Sesiapa yg diberati menanggung urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu dia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya drp api neraka" 

(HR Bukhari, Muslim dan at-Tirmizi)

Daripada Jabir ibn Abdullah, Rasulullah saw pernah bersabda,

"Sesiapa yg ada 3 anak perempuan yang dia jaga, dia cukupi dan beri mereka kasih sayang, maka pasti baginya syurga". Seseorang bertanya "Dua juga wahai Rasulullah?". Beliau menjawab "Dan dua juga"

Musnad Ahmad 13835
Di Hasan oleh Syeikh Al-Albani.

Dan aku ada DUA! Oleh itu, kepada bapa-bapa yang mempunyai anak perempuan, tahniah! Kini anda telah memenuhi definisi seorang "Bapak". Semoga berjaya! Dan kepada bapa-bapa yang hanya ada anak lelaki, kamu hanyalah umpama berjaya menang Champions League dalam FIFA pakai Barcelona dengan setting Beginner . Belum di uji lagi. Mungkin Allah tahu korang tidak tahan di uji sebab tu la tidak layak dapat anak perempuan  lagi. 

Sekian khutbah raya cina aku

Sumber: Mangkuk Hayun