'Kau harap anak-anak jadi orang berguna, tapi kau hadap handphone lebih lama sehingga anak-anak terabai'

Loading...

Salah satu kejayaan anak-anak adalah hasil dari didikan dan acuan ibu ayah yang sentiasa memberikan sepenuh perhatian kepada anak- anak mereka. Jika dilihat pada waktu  sebelum kewujudan era siber, ibu dan ayah sentiasa mengikuti perkembangan anak-anak tidak mengira siang atau malam. 

Interaksi antara ibu bapa dan anak-anak ini bukan sahaja melahirkan anak-anak yang cemerlang malahan membentuk pelakuan yang positif pada anak-anak. Anak-anak pula lebih hormat dan mengasihi ibu bapa mereka.

Namun, arus modeninasi bagaikan menakluk masyarakat pada tidak mengira lapisan umur. Tidak dapat dinafikan gajet membawa kepada kebaikan, namun gajet juga yang mengubah corak pemikiran masyarakat kepada yang lebih negatif. 

Di segenap tempat, rumah, kedai makan, sekolah , tempat kerja gajet menjadi keperluan penting. Oleh yang demikian, sebagai ibu bapa, fokus utama adalah berinteraksi pada anak-anak bukannya bertuankan gajet!

Ahmad Hisyam Sabrani melalui postingnya di Facebook menyelar ibu bapa yang hanya memberikan tumpuan pada telefon bimbit, bukan pada anak-anak sedangkan kejayaan anak-anak diidam-idamkan. Beliau mengingatkan pada semua hakikat sebenar yang belum kita nampak pada hari ini, namun segalanya akan terjadi pada 20 tahun akan datang. Pada waktu itu segalanya sudah terlambat.

KAU mengharapkan anak-anak besar esok jadi anak soleh, huffaz quran, orang berjaya, taat pada ibu bapa dan pemimpin negara. Tapi hari-hari dalam hidup kau menghadap handphone lebih lama daripada masa kau menghadap anak-anak. Kau senyum di depan gajet lebih banyak daripada kau senyum depan anak. 

Pergi kedai makan sama-sama dengan anak, tapi kau mengadap Telegram sepanjang waktu. Anak yang duduk berhadapan dengan kau terpinga-pinga tak tau nak buat apa sementara tunggu makanan yang dipesan sampai. Kalau dia meragam sikit, kau jerkah dia depan orang ramai. 


Anak kau demam, kau bawa pergi klinik. Sementara tunggu nombor giliran naik, kau layan Instagram sampai terabai anak yang sedang menahan sakit. Terkapai-kapai anak tu tidak ada kawan nak bersembang. Paling kuat pun kau bagi dia tengok YouTube atau main game dalam handphone. Janji kau tak terganggu. 

Hari sukan sekolah, anak kau semangat berlari, melompat, bersaing dengan kawan-kawan. Dapat pingat dan piala nak tunjuk kat mak ayah dia. Tapi anak tengah berpanas, berentap di padang, kau berteduh bawah khemah layan Whatsapp sambil tersenyum sorang-sorang. 


Bawa anak pergi taman permainan, anak-anak kau lepaskan main sendirian. Main papan gelongsor, jongkang-jongket, buaian. Kau di mana? Duduk atas bangku sambil kemas kini status Facebook, "Petang ni seronok bawa anak-anak bermain di taman mainan" dan tunggu komen rakan-rakan. Anak-anak menunggu kau turut serta, tapi sayangnya hajat mereka tak kesampaian. 

Kau letakkan harapan pada masa depan anak kau setinggi gunung, nak dia jadi anak soleh, insan berjaya dunia akhirat, tapi nilai gajet kau letak jauh lebih tinggi. Komunikasi dengan anak pun melalui "perantaraan" Youtube dan Ipad. Kalau tidak ada gajet, kau pun buntu macam mana nak melayan karenah anak dan berkomunikasi. 

Hakikat yang pahit, tapi senario harian yang boleh diperhatikan di sekeliling kita. Sekarang anak masih kecil mungkin kau tak nampak kesannya. Tapi setelah 20 tahun akan datang baru kau nak sedar, setelah kau nampak kesannya depan mata, ketika itu nak patah balik pun dah tak dapat. Jadi sementara masih punya masa dan kesempatan, gunakan peluang sebaiknya. 


Kau adalah yang bertanggungjawab mencorakkan anak-anak kau...

كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَاْلأَمِيْرُ رَاعٍ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ، فَكُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ.

Kamu sekalian adalah pemimpin, dan kamu sekalian bertanggung jawab atas orang yang dipimpinnya. Seorang Amir (raja) adalah pemimpin, seorang suami pun pemimpin atas keluarganya, dan isteri juga pemimpin bagi rumah suaminya dan anak-anaknya. Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu sekalian akan diminta pertanggungjawabannya atas kepemimpinannya. (HR al-Bukhari dan Muslim. Ini adalah lafaz al-Bukhari)

إِنَّ اللهَ سَائِلٌ كُلَّ رَاعٍ عَمَّا اسْتَرْعَاهُ أَحَفِظَ ذَلِكَ أَمْ ضَيَّعَ؟ حَتَّى يَسْأَلَ الرَّجُلَ عَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ.

Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada setiap pemimpin tentang apa-apa yang dipimpinnya. Adakah ia pelihara atau ia sia-siakan, hingga seseorang ditanya tentang keluarganya. (HR an-Nasaa'ie dan Ibn Hibban, daripada Anas bin Malik. Ibnu Hajar mensahihkannya)