'KKM juga ada bukti dan saksi bagi kes ini' - KPK

Loading...

Susulan laporan berita pihak berkuasa mengesahkan kematian seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan bukan berpunca dari 'Doula' yang tidak bertauliah, menimbulkan pelbagai reaksi netizen. 

Memetik laporan dari Harian Metro, Ketua Polis Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, siasatan mendapati kematian bayi berkenaan adalah disebabkan lemas selepas dilahirkan dalam keadaan songsang dalam kejadian di rumah pasangan berkenaan di Taman Daya, Johor Bahru. 

Sementara itu dalam kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah yang dikeluarkan hari ini mengesahkan bahawa bayi berkenaan meninggal dunia akibat sesak nafas (asphyxia) setelah kepala bayi tersangkut di perineum ibu semasa melalui kelahiran songsang di rumah pada 4 Februari 2018. 

"Kelahiran bayi tersebut telah disambut oleh individu yang bukan merupakan anggota kesihatan dan tidak bertauliah untuk mengendalikan kelahiran bayi. 

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum kenyataan Ketua Polis Negeri Johor pada 9 Februari 2018 bahawa pihak polis Negeri Johor telah memulakan siasatan kes dan juga kenyataan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan pada 12 Februari 2018 mengenai hasil siasatan polis setakat ini. 

"Memandangkan pihak KKM juga mempunyai bukti dan saksi bagi kes ini, adalah dimaklumkan bahawa pihak Hospital Sultan Ismail telah turut mengemukakan laporan kepada pihak polis. Buat masa ini, masih belum ada kakitangan KKM yang dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan. 

"KKM sememangnya memandang serius dan amat kesal dengan kejadian kematian bayi ini, terutamanya kerana ianya merupakan kes yang boleh dielakkan," kata kenyataan itu. 

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut mendedahkan sepanjang tahun 2017 di Johor didapati terdapat 58 kes yang didaftarkan sebagai kelahiran tidak selamat di mana lima daripada bilangan kelahiran tidak selamat tersebut merupakan kejadian kelahiran di rumah yang berkaitan dengan doula. 

"Lebih merisaukan, dua daripada kes tersebut adalah kes berisiko tinggi yang memerlukan kelahiran di hospital. Namun memilih untuk bersalin di rumah setelah dihasut oleh pihak-pihak tertentu," kata kenyataan itu. 

Terdahulu seorang doula didakwa menjadi punca kematian seorang bayi perempuan di rumah pasangan suami isteri berkenaan. Setelah dikecam hebat di media sosial sehingga dilabelkan sebagai pembunuh, wanita berkenaan tampil menafikan dakwaan itu dan menegaskan dirinya tidak terlibat dalam kes tersebut. Malah turut membuat laporan polis bagi menyokong penafiannya itu.