'Raid sudah longlai, hidungnya berdarah, berlendir dan nadinya sudah tiada'


Hidup ini tidak selalu dihiasi keindahan, akan ada kesedihan yang akan bertandang menguji insan yang terpilih. Kehadiran cahaya mata merupakan anugerah yang tidak ternilai dan paling ditunggu oleh setiap pasangan. Namun,sekuat mana kasih dan cinta kita pada anak-anak, sampai masa Allah akan mengambil pinjaman yang diberikan olehNYA.

Sedih dan perit itulah perkataan yang digambarkan oleh Puan Puteri Fazeera yang baru sahaja kehilangan cahaya matanya. Raid, bayi yang ditunggu buat sekian lamanya telah pergi meninggalkannya apabila disahkan mengalami jangkitan kuman paru-paru. 

Justeru, beliau menyeru agar ibu bapa sentiasa prihatin dengan kesihatan anak-anak terutamanya bayi. Ujarnya lagi, ibu bapa perlu berjumpa segera dengan pakar jika bayi mempunyai masalah nafas berbunyi sebelum terlambat.

ASSALAMUALAIKUM. Al fatihah buat wildan syurgaku. Ummi rindu sangat pada awak sayang. Ummi tahu awak lagi bahagia  dan tenang di sana di samping malaikat yang menjaga.  Syukur hari ini diberi sedikit kekuatan untuk meluahkan dan berkongsi cerita. 

Raid anak ummi yang kuat. Raid murah senyuman walaupun pada hakikatnya Raid tengah sakit dan  Raid tidak pernah tunjuk yang Raid sakit, tidak  pernah sedikit pun demam dan lain-lain.

Pesanan untuk ibu bapa dan bakal ibu bapa di luar sana, kalau anak/baby nafas berbunyi macam berkahak/berdengkur walaupun dah berkali-kali pergi ke klinik untuk periksa, lebih baik rujuk pakar kanak-kanak dengan segera!  

Tidak lama selepas kelahiran, nafas Raid berbunyi berkali-kali dan kami pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan disebabkan risau dengan masalah pernafasannya. Tetapi doktor tetap mengatakan paru-paru  Raid okay, tidak mengalami selsema, tidak demam dan segalanya okay. Jawapan yang sama bila dibawa pergi ke klinik lain.

Pada waktu Subuh hari Jumaat 9 Februari 2018 jam 5.30 pagi, Raid menangis sebab mahu dipegang dan dibawa berjalan-jalan  sehingga dia tertidur. Raid diletak semula di  tilamnya. 30  minit sahaja terlelap. Apabila terjaga pukul enam, kelihatan Raid sudah longlai. Hidungnya berdarah dan berlendir. Satu  badan Raid pucat dan dia sudah  tidak sedarkan diri. Pada waktu itu juga, nadi Raid sudah tiada.

Semasa dalam perjalanan ke klinik, kami tetap usaha berkali-kali memberikan bantuan pernafasan di  mulut Raid.  Cecair lendir dan darah keluar dari hidung Raid. Kami menuju ke bahagian kecemasan Hospital Waqaf. Doktor usaha sedaya upaya. Waktu itu hanya berdoa agar Allah memberikan keajaiban. Bagaimanapun, doktor mengesahkan bahawa Raid telah tiada. 

Sewaktu kami bawa Raid ke sana, jantung Raid sudah terhenti. Bermaksud Raid memang sudah tiada sebelum sampai di situ. Doktor tidak mengetahui punca Raid meninggal namun mengesyaki Raid tersedak susu kerana lebihan susu keluar bersama darah dan lendir . 

Kemudian doktor menyuruh kami membuat laporan polis. Polis mengeluarkan arahan untuk bedah siasat kerana  KKM wajibkan ke atas kanak-kanak bawah lima tahun. 

Tiba di Jabatan Forensik HSI, doktor tanya dari awal sehingga akhir apa yang berlaku. Doktor memberitahu boleh sekiranya kami ingin menarik balik arahan untuk bedah siasat sekiranya tidak sanggup. Walau apa pun sebab, kami redha dan tidak akan menuntut apa-apa dari mana-mana pihak.  Kami terima jika betul atas kecuaian kami sehinggakan Raid tersedak susu dan tidak akan  memaafkan diri sendiri!

Selepas dibedah siasat,  doktor mengsahkan Raid terkena jangkitan kuman paru-paru dan mengatakan jika Raid tersedak susu, darah tidak akan keluar dari hidungnya.  Waktu itu yang terlintas di fikiran kami hanya 'nafas berbunyi!' selama ini. Selama ini doktor cek paru-paru normal dan tiada masalah? Raid sihat sahaja? Ya Rabbi, kami redha.

Ya Allah segalanya mungkin sudah tertulis Raid pinjaman sementara buat kami. Jika diberi peluang untuk undur balik masa ummi dan baba akan buat yang terbaik untuk Raid. Tetapi Raid kuat, Raid tak tunjuk langsung yang Raid sakit. Raid selalu senyum seolah Raid sihat walafiat!

Peringatan untuk ibu bapa di luar sana, jangan ambil mudah kalau baby 'nafas berbunyi' pergi rujuk Pakar Kanak-Kanak sebelum terlambat. Kami kongsi di sini agar ibu bapa di luar sana berhati-hati dan supaya tidak merasai keperitan kehilangan anak seperti yang kami alami. Perit yang teramat! Apatah lagi penantian kami inginkan zuriat agak memakan masa sedikit lama. Apabila sudah dapat  merasa menimang cahaya mata sendiri seketika, kami diberi ujian sebegini. Perit yang teramat sangat. 

Raid anak Ummi Baba, tunggu Ummi Baba di sana ye sayang. Al-Fatihah anak syurgaku Muhammad Raid Fawwaz bin Mohamad Razif. Hadirnya Raid seketika seolah-olah mimpi yang sangat indah buat kami. Segalanya kini tinggal kenangan. 









#Al-fatihah
#MuhammadRaidFawwaz
#wildanSyurgaUmmiBaba

Dalam kenangan
6 january 2018 (SABTU)  - 9 February 2018 (JUMAAT)
#34Hari