'Ramai kecam pihak sekolah, jiran, ibu kandung dll tak beri peranan sewajarnya sedangkan...'

Loading...

Berikutan kes kematian kanak-kanak perempuan 9 tahun akibat didera bapanya, ramai netizen yang mengecam pihak sekolah, jiran dan sebagainya yang didakwa tidak bertanggungjawab dan peka dengan apa yang berlaku sebelum itu sehingga menyebabkan mangsa mati di tangan lelaki terbabit. 

Bagaimanapun, ada beberapa perkara yang mungkin netizen tidak tahu bahawa pihak-pihak yang dituduh tidak memainkan peranan masing-masing itu sebenarnya sudah bertindak lebih awal. Tetapi keadaan terbatas atas beberapa perkara. 

"Saya selalu kena pukul, lama-lama saya boleh mati"

CANTIK rupa ibu tiri dan bapa kandungnya. Rupa elok, manis, tutup sempurna dan macam keluarga idaman. Soleh dan solehah. Tetapi hakikatnya hanya tuhan saja yang tahu. 

Malam tadi agak lapang, jadi saya scroll tentang berita Nur Aina. Ramai yang mengecam pihak sekolah, pada jiran, ibu kandung mangsa dan sebagai. Pada mereka, pihak yang bertanggungjawab tidak memberikan peranan yang sewajarnya. Mungkin ada info yang mereka tidak tahu. jadi saya tulis di sini:

Guru Besar pernah memanggil bapanya ke sekolah, berkenaan dengan kesan lebam dan kecederaan yang dialami Nur Aina yang agak jelas. Tetapi Guru Besar pula yang dimarahi olehnya. 

Saya sendiri menghubungi jiran sebelahnya (SMS). Pada pendapat saya, cuma beberapa orang jiran sahaja yang pernah nampak lebam Nur Aina. Jiran tersebut ada inisiatif untuk bertanya. Tetapi arwah kata dia terjatuh. 


Bapanya juga mengaku dia memang garang tetapi tidak pernah menyentuh anak-anaknya. Jiran juga mengaku selalu terdengar suara si bapa mengamuk dan memaki, tetapi tiada suara menangis, merintih, meminta tolong, menjerit dan sebagainya. Itulah asbab kenapa tiada seorang pun jiran yang tampil ke depan. 

Sebelum dilaporkan meninggal dunia, Nur Aina sempat pergi mengaji di rumah jiran yang terletak di sebelah depan bersama dengan abangnya. Guru mengaji kata arwah agak pasif pada waktu itu. Malah guru mengaji berkenaan juga bertanya tentang lebam arwah, katanya disebabkan terjatuh juga. 

Lapan bulan yang lalu, ibu kandung ada membuat laporan polis berhubung kecederaan Nur Aina, kes berpanjangan sehingga ke mahkamah tetapi kemudian si bapa dilepaskan atas dasar 'ayah mendidik anak'. (Timbalan Pendakwa Raya mesti menyesal)

Sebelum digari, ibu tiri Nur Aina sempat mengirimkan mesej dalam group WhatsApp kelas/sekolah anak tirinya untuk memaklumkan yang Nur Aina meninggal dunia sewaktu tidur. Ibu tirinya juga pernah memberitahu guru di sekolah yang arwah agak manja dengannya. 

Wallahualam, ramai yang mengambil berat tentang arwah tetapi mungkin kesungguhan itu kurang. Manusia mudah mengkritik, sedangkan tidak kena pada diri sendiri. Daripada mengkritik dan mempersoalkan, lebih baik doakan yang baik-baik. 

Kita bukan tuhan, bukan hakim yang ada kuasa menjatuhkan hukum. Ramai yang buat andaian awal di post sebelum ini, yang mana jika andaian atau tuduhan itu salah boleh jatuh fitnah (fitnah lebih teruk dari membunuh). Jadi apa beza anda dengan bapa yang anda panggil pembunuh itu?

Saya ada terbaca komen daripada salah seorang jiran yang mana tidak pernah sekali pun mereka dengar ibu tiri Nur Aina menengking arwah. Dengar kata ibu tiri tersepit di tengah-tengah (jiran tidak mahu cerita lebih lanjut sebab kes ini masih dalam siasatan).

Berdasarkan pengalaman saya di sekeliling, kebanyakan wanita jadi 'kurang cerdik' bila terlalu sayangkan seseorang. Maaf agak kasar tetapi ini fakta.


Jirannya juga ada maklum yang ibu tiri Nur Aina pernah tergesa-gesa mengambil Nur Aina dari sekolah (mungkin terlambat) sedangkan waktu itu dia masih berada dalam pantang.

Ibu tiri arwah mungkin salah sebab membiarkan penderaan itu terjadi. Tetapi kita tidak tahu apa yang dia tanggung, rasa dan tahu.

Maaf jika saya ada sakitkan hati sesiapa. Saya juga tidak menyebelahi mana-mana pihak, sebab akal manusia terbatas untuk menilai sesuatu perkara dengan tepat.

Al-fatihah untuk arwah adik Nur Aina Nabihah. Syurgalah tempat kamu.