Remaja dirogol teman lelaki dikenali dari WeChat

Loading...

Seorang pelajar tingkatan tiga mendakwa telah dirogol teman lelaki yang dikenalinya melalui aplikasi WeChat minggu lalu, lapor Harian Metro

Mangsa mendakwa, kejadian itu berlaku di sebuah rumah di Taman Samudera, Wangsa Maju, selepas dia mengikuti teman lelakinya yang berusia 19 tahun ke rumahnya untuk berehat selepas tamat sesi persekolahan. 

Menurut sumber polis, selepas mereka tiba di rumah lelaki berkenaan, suspek kemudian mengajak mangsa masuk ke dalam biliknya. 

"Suspek menyuruh mangsa membuka baju sekolah yang dipakai sebelum meraba kemaluan mangsa. Mangsa yang terkejut dengan perbuatan suspek, cuba menolak. Namun suspek bertindak ganas ke atas mangsa," katanya. 

Suspek kemudian mengarahkan mangsa berbaring sebelum memperkosanya dan selepas melakukan perbuatan itu, suspek menghantar mangsa pulang ke rumah.  

Mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarganya sebelum membuat laporan polis pada Selasa lalu. Mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk membuat pemeriksaan lanjut. 

Polis kini sedang giat menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.