'Saya mahu bermuhasabah diri dan menjadi Fathia yang baru'

Loading...

Pelakon Nur Fathia Latiff dalam kenyataan kepada Harian Metro mengakui dia kini dalam proses memperbaiki diri untuk menjadi insan yang lebih baik di sisi agama, sekali gus dijadikan teladan kepada peminat. 

Malah, Fathia menganggap setiap kontroversi yang melanda dirinya sebagai ujian Allah S.W.T bagi menguji ketabahannya. 

"Secara peribadi, kontroversi demi kontroversi yang melanda diri semakin mematangkan saya dalam meniti jatuh bangun sebagai anak seni. 

"Sebab itu saya mengambil pendekatan untuk berdiam diri sekarang bila nama terpalit dengan kontroversi untuk meredakan serta tidak mahu lagi memburukkan keadaan," katanya. 

Fathia turut mengakui kontroversi itu semua secara tidak langsung telah menjejaskan nama dan masa depan kerjayanya. 

"Siapa yang tidak berasa kecewa dan merajuk apabila nama digugurkan daripada projek drama pada saat akhir dan nama saya juga seolah-olah disenarai hitam stesen televisyen swasta? 

"Kini saya mahu bermuhasabah diri dan menjadi Fathia yang baru. Saya berharap semoga diri ini diberi peluang kedua untuk aktif kembali dalam bidang lakonan yang diceburi sejak dulu," katanya. 

Fathia juga akan lebih berhati-hati bila mengeluarkan sebarang kenyataan mahupun komen di media sosial pada masa akan datang. 

"Sebagai selebriti, saya memang tidak arif mengenai isu politik dan komen yang dikeluarkan sebelum ini juga ikhlas sebagai rakyat. 

"Namun, kenyataan yang saya buat itu disalahtafsir oleh netizen hingga mencetuskan kontroversi dan menjejaskan nama baik dalam bidang hiburan tanah air," katanya.