'Saya tetap akan tunggu' - 8 tahun menunggu tunangnya pulih dari koma dan hilang ingatan

Loading...

Pasangan dari Jepun, Hisashi Nishizawa dan Mai Nakahara telah merancang untuk berkahwin pada 2007, malangnya majlis itu terpaksa ditangguhkan untuk jangka masa yang agak lama sebelum mereka kembali bersatu pada 2014. 

Mengikut perancangan asal, mereka sepatutnya berkahwin pada awal tahun 2007, tetapi berlaku kejadian yang tidak diingini memaksa Nishizawa membatalkan semua perancangan yang telah dibuat. 

Bakal pengantin perempuan, Nakahara, tiba-tiba hilang daya ingatan jangka pendek pada Disember 2006 dan mula mengeluarkan bunyi pelik pada suaranya bila menjelang waktu malam. 



Gagal mengenalpasti punca masalahnya itu, Nakahara dipindahkan ke hospital mental. Ketika berada di bawah penjagaan hospital berkenaan, Nakahara disahkan koma selepas jantung dan paru-parunya tidak berfungsi. 

Nakahara kemudian dihantar ke Hospital Universiti Okayama untuk pemeriksaan lanjut. 

Melihat keadaan Nakahara seperti itu, ibu bapanya meminta Nishizawa untuk mencari wanita lain. Tetapi dia enggan berbuat demikian dan kerap mengulangi, "Saya tetap akan tunggu.". 

Selepas beberapa bulan kemudian, Nakahara disahkan menghidap penyakit yang dikenali sebagai Anti-NMDA receptor encephalitis yang menyebabkan kegagalan fungsi otak. 

Difahamkan penyakit itu amat jarang berlaku dan pesakitnya mengalami halusinasi, pernafasan yang lemah dan ketidakupayaan menunjukkan reaksi. 

Namun selepas diberi rawatan perubatan, Nakahara mula menunjukkan tanda-tanda positif, termasuk mampu bertindak balas terhadap suara. 

Bulan berganti tahun, akhirnya Nakahara semakin pulih. Menjelang 2011, dia sudah dapat menyatakan emosinya dan menulis namanya sendiri dan dibenarkan keluar dari hospital. Keadaannya bertambah baik di rumah di mana dia mula mengenal ahli keluargannya. 



Malangnya hanya seorang saja yang masih tidak dapat diingatinya iaitu tunangnya, Nishizawa, meskipun dia tahu lelaki itu selalu berada di sisinya. Malah dia sendiri hairan kenapa lelaki itu kerap bersama dengannya sepanjang masa. 

Ingatannya terhadap Nishizawa datang kembali setelah dia melihat beberapa keping gambar lama dengan ucapan-ucapan perkahwinan dengan tarikh 11 Mac 2007 ditulis pada gambar tersebut. 


Akhirnya dia sedar Nishizawa juga adalah sebahagian daripada hidupnya dan gambar-gambar tersebut juga menunjukkan mereka selalu merakam gambar bersama-sama. 

Pada Jun 2014, selepas hampir lapan tahun majlis perkahwinan ditangguhkan, pasangan itu menghubungi semula wedding planner yang sama untuk menjadualkan semula perkahwinan mereka. 


Majlis perkahwinan pasangan itu berlangsung pada 21 Disember 2014 dan dihadiri oleh ahli keluarga, saudara mara, rakan-rakan dan kakitangan hospital yang menjaga Nakahara ketika sakit. 

"Ketika saya melihat dia semakin pulih dari hari ke hari, walaupun sedikit demi sedikit, saya tidak rasa yang lapan tahun itu agak lama," kata Nishizawa.  

"Saya bersyukur dan saya mahu bina keluarga bahagia bersama dengannya," kata Nakahara. 





Kisah Nishizawa dan Nakahara membuatkan netizen rasa tersentuh dan terharu. Malah kisah mereka telah dibukukan dan dijadikan sebagai filem.