Semua guru tak dibenarkan bawa telefon dalam kelas

Loading...

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan bahawa guru tidak dibenarkan membawa dan menggunakan telefon bimbit ketika berada di dalam bilik darjah. Tetapi boleh membawanya ke sekolah dan disimpan di pejabat atau bilik guru, lapor Utusan Malaysia

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata, prosedur itu telah ditetapkan kepada semua guru. 

Mengulas mengenai insiden seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada 22 Januari lalu, yang didakwa mencuri telefon bimbit gurunya sehingga tertekan lalu mengambil tindakan menggantung dirinya, beliau berkata pihak kementerian masih belum menerima laporan penuh daripada pihak polis. 

"Saya belum menerima laporan bagaimana dan di mana telefon (iPhone 6) itu didakwa hilang, laporan dan siasatan sedang dilakukan oleh pihak polis," katanya. 

Kamalanathan berkata, ramai pihak yang telah mengeluarkan pelbagai kenyataan berhubung insiden tersebut dan menasihatkan semua pihak menunggu hasil siasatan penuh pihak polis. 

Beliau juga memberikan jaminan, KPM akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan tanpa melindungi mana-mana pihak. 

Sementara itu di media sosial, larangan itu menimbulkan pelbagai reaksi netizen terutamanya dari golongan mereka yang bekerjaya sebagai guru.

"Disebabkan kes hari itu saja. Sebelum nak beri gajet kepada cikgu, tak fikir habis. Juta-juta ringgit Malaysia habis, macam-macam apps dibina. QR code dalam buku teks. Sembang kari," kata Maisarah Saidi Sukri.

"Hapuskan juga sistem pelaporan E itu E ini. Menyusahkan guru. Bagus juga tak boleh bawa telefon. Selepas ini boss jangan beri arahan melalui WhatsApp dah," kata Aazyf Roshan.