(Video) 'Hargailah bakat saya' - Aliff Syukri


Susulan filem Badang menerima pelbagai reaksi dari netizen yang rata-ratanya negatif, pelakon utamanya, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, meluahkan rasa kesal dan kecewanya di Instagram sebentar tadi. 

Aliff dalam video luahannya itu mengaku terkilan dengan segala komen-komen negatif yang dilemparkan netizen terhadapnya, bagaikan usahanya berlakon dalam filem Badang itu tidak dihargai. 

"Tak ada fikir ke penat jerih kita? Ingat apa saya berlakon ini? Percuma? Saya tak buat kerja? Fikirlah apa perasaan saya, apa saya rasa. Fikir, sakit hati saya dengar korang kutuk-kutuk saya ni," katanya. 

Menurut Aliff, segala komen-komen itu membuatkan dia berasa tidak senang duduk dan meminta netizen tidak melampaui batas bila memberikan komen mengenai filem tersebut.  

"Saya ni bangun pagi saja tak lena, bangun tidur saja saya sakit hati, sakit jiwa. Apa salah saya? Korang hina lebih-lebih, korang ingat saya ini batu? Kayu? Labu? Tunggul? 

"Filem terbaik, hasil seni terbaik. Sebenarnya boleh kalahkan semua filem-filem, ape Black Maria ke, Black Panther ke, black apa aku tak tahulah, yang penting black," katanya. 

Aliff Syukri percaya, kebanyakan yang mengutuk filem lakonannya itu masih belum menonton filem itu sendiri.

"Korang tak tengok lagi korang dah kutuk. Apa yang korang rasa kalau korang berada di tempat saya? Jiwa raga saya. Kesabaran saya ini ada limitnya. Tapi jangan melampau-lampau. 


"Penat pagi siang malam petang saya berlakon tau, tetapi saya mendapat penghinaan bukannya pujian. Hargai bakat saya. Fikir kalau korang berada di tempat saya. Jangan main kutuk-kutuk saja," katanya. 
Terdahulu, pengarah filem Badang, Datuk Profesor Dr. A Razak Mohaideen berkata, beliau percaya bahawa komen-komen negatif itu timbul kerana ada segelintir netizen yang kurang menggemari Aliff Syukri. 

Dalam kenyataan itu, Razak menjelaskan sasaran filem Badang adalah kanak-kanak dan meminta penonton dewasa meletakkan diri mereka sebagai kanak-kanak apabila menonton filem tersebut.

BERITA BERKAITAN:
'Bila saksikan filem Badang, letakkan diri anda sebagai kanak-kanak'