'Aduh! Dapat kotak kosong' - Terkejut dapat kotak, tapi barangnya sudah dikebas


"Terima bungkusan biasa dapat memang berisi dan ada 'jisim'. Tapi kali ini, sekali pegang ringan semacam," demikian kata Zarizal Suhaili yang kesal, barang yang dibelinya secara online telah dicuri oleh individu yang tidak bertanggungjawab. 

Gambar dan video yang dimuat naik sejak jam 3.30 petang semalam kini telah dikongsi 902 kali di laman Facebook. 

Difahamkan, Zarizal membeli barangan pewangi jenama Jimmy Choo secara online dan penghantaran dibuat menggunakan khidmat penghantaran Pos Laju. 

Bagaimanapun pada hari kejadian, alangkah terkejutnya apabila dia mendapati bungkusan barangan yang dihantar kepadanya telah dibuka dan ditutup semula dengan selotep dan lebih malang lagi isi dalamnya juga telah diambil. 

Zarizal kemudian merakam insiden itu sebagai bukti bahawa dia menerima bungkusan yang telah dibuka dan isi kandungannya telah dicuri oleh individu yang tidak bertanggungjawab. 

Menurut posmen berkenaan, dia hanya menerima bungkusan tersebut seperti yang sedia ada dan menghantar ke alamat tertera, malah tidak tahu apa yang terjadi pada bungkusan itu sebelum diserahkan kepadanya. 





Zarizal tidak menyalahkan posmen berkenaan dan menjelaskan dia hanya merakam insiden itu sebagai bukti agar dia dapat membuat tuntutan kerugian di kemudian hari. 

Difahamkan, Zarizal telah membuat aduan kepada pihak Pos Malaysia untuk tindakan lanjut.