Air selusuh bukan saja berisiko kepada ibu, malah boleh mengakibatkan bayi lemas

Loading...

Fasa kehamilan merupakan satu detik yang terindah buat kaum wanita. Apabila sudah sampai tanda-tanda bersalin, pelbagai persiapan yang dilakukan oleh bakal ibu. Selain daripada persiapan kelengkapan bayi, bakal ibu juga disarankan untuk mengambil makanan tambahan dan juga minuman untuk memudahkan proses bersalin. 

Air selusuh merupakan air yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu. Air ini dipercayai akan memudahkan dan mempercepatkan proses bersalin selepas tanda-tanda awal bersalin mula berlaku. Air selusuh juga bukan sahaja boleh diminum malahan boleh disapu pada perut.

Namun demikian, pada dasarnya, air selusuh ini tidak salah diamalkan jika air ini hanyalah air kosong dan dibacakan dengan ayat-ayat Al- Quran berserta doa. Tetapi, sesetengah ibu mengambil air selusuh yang direndam dengan akar fatimah atau pun dibaca dengan mantera atau dicampur sedikit dengan herba-herba.  

Doktor Muhammad Izzat Abdul Razak yang merupakan pegawai perubatan O&G tidak menggalakkan ibu mengamalkan air selusuh yang mengandungi akar kayu dan herba ini. Beliau menyatakan ibu-ibu sekalian harus memikirkan risiko yang akan dihadapi mereka.

BOLEH MINUM AIR SELUSUH KE DOKTOR?

Biasanya orang Melayu kita lebih arif berkenaan dengan air tersebut. Air biasa direndam dengan akar fatimah ataupun air biasa dibaca dengan mantera jampi serapah atau dicampur sikit dengan herba-herba yang memulakan kontraksi rahim. Air ini juga turut dikenali sebagai Sanggul Fatimah / Rumput Fatimah / Rose of Jericho.

Air selusuh akar Fatimah ini dipercayai turun temurun digunakan untuk ‘mempercepatkan’ proses bersalin. Biasanya air ini akan diminum selepas tanda tanda awal bersalin itu berlaku, keluar darah awal bersalin pecah air mentuban pecah atau sakit kontraksi sudah bermula. Bukan sahaja boleh diminum, ada yang boleh disapu pada perut, bersertakan bacaan-bacaan tertentu. Masalahnya, betul ke akar Fatimah ini sememangnya mempercepatkan proses kelahiran?

Selusuh yang melibatkan hanya air kosong dengan bacaan ayat-ayat suci Al Quran dan doa, sepatutnya tiada masalah untuk diamalkan. Ada beza doa dan jampi serapah. Jangan keliru! Air rendaman akar Fatimah, minyak selusuh bidan kampung, air jampi, air asam jawa yang dibacakan jampi, rendaman akar kayu dan herba merupakan antara jenis-jenis selusuh amalan orang Melayu.

Selusuh jenis ini tidak diketahui cara penghasilan dan bahan kimia aktif di dalamnya dan ada kajian membuktikan bahan yang digunakan mempunyai aktiviti seperti hormon oksitosin yang menyebabkan kontraksi pada rahim. Dos bahan ini tidak diketahui dan tak boleh dipantau secara klinikal. Hormon oksitosin yang digunakan dalam dalam perubatan obstetrik moden diketahui dosnya dan diubah mengikut keperluan pesakit. Dan bukan sewenang-wenangnya diberikan tanpa alasan yang kukuh.

Melihat kepada pengalaman saya yang sekelumit cuma ini, sepanjang berkhidmat di bidang ini yang sentiasa berhadapan dengan ibu-ibu yang sedang bertarung nyawa ni, secara peribadinya, saya tidak menggalakkan penggunaan air selusuh yang mengunakan bahan-bahan seperti yang saya nyatakan tadi. Ada banyak sebab mengapa saya tidak mengalakkan penggunaanya dan jika ada ahli debat yang sanggup berdebat, saya persilakan.

1. Ibu digalakkan untuk berpuasa  iaitu ibu yang  memasuki fasa aktif  bersalin yang berada di dewan bersalin dan telah bersedia untuk melakukan pembedahan secara ceaseran jika berlaku kecemasan. Apabila ibu itu sudah berpuasa, pembedahan boleh dilakukan dengan segera. Jadi jika air selusuh diberikan kepada ibu-ibu nak bersalin ini secara tak langsung akan memberikan risiko kepada ibu. 

2. Air selusuh ini seolah-olah memaksa pintu rahim terbuka sedangkan belum tiba waktunya untuk bersalin. Hal yang demikian akan menyebabkan ibu-ibu mengalami kesakitan yang amat sangat. Bukan kepalang sakitnya. Melalui pengalaman saya, hampir kesemua ibu yang mengamalkan air selusuh ini meracau dan tidak keruan akibat kesakitan yang melampaui biasa. 

Tambah menyedihkan, ada di antara mereka terpaksa kami tolak ke dewan bedah untuk pembedahan caeserean kerana pintu rahim langsung tidak terbuka sedangkan ibu tersebut dalam kesakitan yang amat sangat, berjam-jam lamanya. Kontraksi yang kerap ketika bersalin akibat air selusuh ini kadangkala menyebabkan peredaran darah pada bayi terganggu dan boleh mengakibatkan bayi lemas secara tidak semena-mena.  

Pandangan peribadi saya kepada pasangan yang baru berkahwin, terutamanya yang duduk di bandar-bandar besar, kalau boleh, janganlah mengharap kepada air selusuh ini. Lazimnya air selusuh ini bukan buatan sendiri, kadang kadang kita meminta orang lain yang buatkan. Jadi, kita tidak tahu apa yang terkandung dalam air tersebut. 

Memang diakui syaitan itu ada, bahkan di setiap pembuluh darah kita, syaitan itu akan melaluinya. Jika inginkan kesenangan dan kemudahan dalam bersalin, lakukanlah solat taubat, mohon keampunan kepada Allah, mohon dipermudahkan segala urusan, solat hajat. Minta ampun pada suami, kedua ibu bapa, dan para suami, ampunkan dosa dosa isteri. Insyallah, Allah itu akan ada untuk kita.

Setiap kali melihat pesakit yang mengamalkan air selusuh ini, sangat 'terasa' kesakitan para wanita itu, tapi apakan daya. Kadang kala, kejahilan di atas ilmu yang ada membuatkan kita lupa, alpa dan lalai. Oleh itu, Allah sediakan masa 40 minggu bersamaan dengan 9 bulan untuk bersedia menghadapi semua itu. 

Dan yang terakhir pesanan saya, amalkanlah doa ini setiap masa:

Laillahha illa anta subhanaka inni kuntu minaz zholimin 
(Tiada Tuhan melainkan Engkau, Masa Suci Engkau, sesungguhnya aku dalam golongan orang yang menzalimi diri sendiri)

Ini adalah doa Nabi Yunus ketika baginda ditelan oleh ikan Nun, di mana pada ketika itu baginda berpaling dari kaumnya yang enggan mengaku Allah itu sebagai Tuhan. Amalkan setiap kali musibah dan masalah melanda, insyaAllah akan melimpah Rahmat dari Yang Maha Berkuasa.

Saya bukan ustaz mahupun alim ulama, hanyalah manusia biasa yang menilai alam sekeliling, yang kadang-kadang lupa dan lalai. Proses bersalin ini mengajar bakal ibu dan ayah supaya banyak bersabar. Tiada benda yang boleh cepatkan proses ini, tanpa izin Allah.

Pegawai Perubatan
Obstetrik & Ginekologi
Kementerian Kesihatan Malaysia