'Dalam beberapa saat Yasmeen tak bernafas dan lemah' - Cemas! Anak tertelan penutup botol air

Loading...

Awasilah anak-anak kecil yang masih belum mengenal erti bahaya. Jika boleh, elakkan benda-benda kecil bersepah atau mudah dicapai oleh anak-anak kerana bimbang mereka memasukkan objek tersebut ke dalam mulut yang boleh menyebabkan mereka tercekik dan sesak nafas. 

Dalam kejadian baru-baru ini, bapa kepada dua orang anak ini berkongsi detik cemas kejadian yang menimpa anak bongsunya tertelan penutup botol. Bermacam usaha mereka lakukan untuk mengeluarkannya, namun tidak berjaya. Si kecil pula mula lemah dan tak bernafas beberapa saat sebelum datuknya berjaya mengeluarkan penutup botol tersebut. 

Berhati-hatilah ibu bapa semua. 

18/3/2018

Jam 7 malam, aku berehat dalam bilik. Letih, sakit urat semualah. Di ruang tamu, ada isteri dan anak-anak. Kebetulan mak dan pak mertua aku ada sekali, datang rumah nak makan laksa sambil tengok cucu. 

7.15 malam, ruang tamu rumah aku bising. Isteri duk menjerit "Abang! Abang! Abang!". Aku bingkas bangun. Allah, menangis aku tengok anak nombor dua aku, Yasmeen Suraya tertelan penutup botol. Macam-macam cara yang kami buat, tungging, tepuk belakang badannya, korek dengan jari agar penutup botol itu keluar dari tekaknya. 

7.30 malam, dalam beberapa saat, Yasmeen tidak bernafas dan lemah longlai. Berderai lagi air mata aku. Akhirnya usaha pak mertua aku berjaya mengeluarkan penutup botol itu. 

Yasmeen masih lemah, tercunggap-cunggap dan darah banyak keluar. Habis baju yang dipakai Yasmeen berlumuran darah. Memang cemas masa itu. Aku terus bawa anak dara aku ke hospital. 

Sampai saja di hospital, pegawai perubatan minta Yasmeen diperiksa. Sekali lagi Yasmeen muntah darah pekat. Allah saja yang tahu perasaan aku, berderai lagi air mata aku. Pegawai perubatan terbabit meminta Yasmeen diperiksa untuk kali kedua. 

Aku tidak dibenarkan masuk, hanya mama Yasmeen saja yang boleh masuk. Aku tak tahu apa yang terjadi pada waktu itu, dengan bateri telefon aku out, aku tak dapat nak menghubungi sesiapa. 

Bila diperiksa, doktor kata ada luka di dalam rongga mulut Yasmeen. Kami kena tunggu untuk kali kedua. Pakar rongga kanak-kanak datang untuk memeriksa keadaan Yasmeen. 

Segala penerangan jelas, Alhamdulillah Yasmeen tak apa-apa. Cuma badan Yasmeen panas, lemah dan tidak lalu minum susu, mungkin trauma. 


Hari ini Yasmeen menunjukkan reaksi yang dia okey. Siap melambai aku semasa nak pergi kerja. Cuma riak wajahnya masih lemah dan tak bermaya. Harap perkara sebegini tidak akan berlaku lagi di masa akan datang. Anak amanah Allah.