'Darah lencun sampai habis tudung, baju dan tapak tangan dengan darah Deqna' - Anak terjatuh dan kepala terkena bucu besi kerusi kereta


Terkejut si ibu apabila mendapati kepala anak perempuannya berlumuran darah selepas terjatuh dan terkena bucu besi di bahagian bawah kerusi kereta. Tidak dijelaskan bagaimana kejadian itu boleh berlaku, namun Puan Nadila Mohamad hanya menyedarinya selepas memeluk anak perempuannya itu dalam keadaan basah berlumuran darah. 

Mujur mangsa segera dibawa ke hospital dan diberikan rawatan segera. Berdasarkan gambar yang dikongsikan, terdapat dua kesan luka di kepala mangsa. Imbasan x-ray menunjukkan mangsa tidak mengalami kecederaan di dalam kepala dan diberi rawatan sebagai pesakit luar. 

Ekoran kejadian itu, Puan Nadila Mohamad meminta orang ramai khususnya ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil berhati-hati agar kejadian seumpama itu tidak berlaku. Juga katanya, periksa bahagian besi bucu tajam di bawah kerusi tersebut dan ambil langkah untuk menutupnya bagi tujuan keselamatan anak-anak. 

Tragedi malam 23 Mac 2018

Dulu Farrel yang kena besi ini tetapi syukur Alhamdulillah Farrel tak ada sampai jadi begini. Cuma benjol dan luka biasa sahaja. Mungkin kepala dia lebih kebal dari Deqna. 

Sekarang Deqna pula yang kena, cuma itulah tak sangka. Ingatkan tak ada apa-apa selepas angkat dan peluk dia. Masa itu tak tahu pula dia jatuh kena besi ini. Selepas peluk, tiba-tiba tangan rasa basah, ingatkan air mata dia. Dalam samar-samar lampu jalan, ternampak warna merah. Jantung ini seperti terkena renjatan. Cepat-cepat buka lampu kereta. 

Apa lagi, Allah saya yang tahu betapa paniknya saya pada masa itu. Yelah, tak pernah jadi begini pada anak-anak. Ini pertama kali darah lencun begini sampai habis tudung, baju dan kedua belah tapak tangan dengan darah Deqna. 



Bila buka lampu tempat duduk belakang, terkejut juga tengok darah yang terpercik dan besi seat belakang yang Nina kena itu. MasyaAllah, tajam  Ya Allah. Masa ini memang tak berhenti saya menangis. Deqna dah berhenti menangis pun saya pun masih menangis sebab hati rasa terkilan. Kenapalah saya biarkan saja anak-anak bergurau dan bermain di belakang. Yelah, siapa sangka akan jadi begini. 

Syukur masa ini kami berdekatan dengan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Kami terus pergi ke Jabatan Kecemasan. Alhamdulillah memang pantas kakitangan HSNZ melakukan tugas mereka. 


Lebih kurang sejam, semuanya selesai dan Alhamdulillah syukur sangat selepas buat x-ray semua, saya sujud syukur bila doktor kata tiada kecederaan yang serius. Dan anak saya tidak perlu dimasukkan ke wad. Masa ini Allah saja yang tahu perasaan saya sebagai seorang ibu. Seolah-olah baru mendapat nyawa semula.

Selepas ini saya perlu beringat, bahaya betul bahagian besi kerusi kereta ini. Lebih-lebih lagi saya yang ada anak-anak kecil ini. Benda ini nampak mudah tetapi sebenarnya berbahaya dalam tidak sedar. Sesiapa yang ada kereta Azla, berhati-hatilah terutamanya yang ada anak-anak kecil yang super duper hiperaktif seperti anak-anak saya ini.

Kalau tarik kerusi belakang sampai habis ke depan, pastikan tutup bahagian bucu besi di belakang kerusi itu. Elakkan kejadian seperti ini berulang. Malang tak berbau kan?


Terima kasih kepada semua yang mendoakan Deqna. Syukur Alhamdulillah Deqna sudah aktif seperti biasa. Tak nampak seperti orang sakit pun, sampai doktor sendiri kata Deqna ini memang hiperaktif dan tak mengerti lagi erti kesakitan. Kalau kita orang deasa, mahu dah pengsan. 

Saya izinkan peringatan ini dikongsikan agar para pengguna kereta Perodua Alza seperti saya ini lebih peka tentang benda tajam ini terutamanya yang ada anak-anak kecil yang hiperaktif seperti anak saya. Sama-sama kita berkongsi benda yang sebenarnya orang ramai tak tahu seperti saya.

Sumber: Puan Nadila Mohamad

Sebaik-baiknya, didiklah anak duduk di dalam tempat duduk khas kanak-kanak (car seat) agar kejadian seumpama itu tidak berulang. Melaburkan sedikit untuk keselamatan anak yang tersayang. Semoga menjadi pengajaran buat kita semua.