Dua beradik dilarikan individu dikenali dari tadika di Petaling Jaya


Dua kanak-kanak dilaporkan telah dilarikan tiga individu termasuk seorang wanita dari sebuah tadika di Seksyen 16, Shah Alam, semalam, lapor Harian Metro.

Raheel Khan, 6, dan adiknya, Aleya Reyhana, 4, hanya disedari hilang oleh bapanya ketika mahu mengambil dua beradik itu pulang dari tadika. 

Menurut ibu saudara dua beradik berkenaan, bapa mereka dimaklumkan oleh guru bahawa ada seorang wanita datang mengambil mereka kira-kira jam 9 pagi dengan alasan mahu membawa mereka untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. 

Ketika itu, wanita terbabit memaklumkan kepada guru yang bapa dua beradik itu tahu mengenai pemeriksaan kesihatan tersebut dan dia juga berjanji akan menghantar mereka pulang semula ke tadika sebaik saja pemeriksaan kesihatan yang mengambil masa lebih kurang satu jam itu selesai. 

Guru berkenaan turut memaklumkan wanita terbabit datang bersama dua lelaki yang menunggu di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih. 

Susulan kejadian itu, keluarga dua beradik berkenaan telah membuat dua laporan polis di Balai Polis Damansara pada hari yang sama. 

Difahamkan, si ibu dipercayai telah menghilangkan diri dan dua kanak-kanak itu dijaga oleh bapa mereka.  

Ibu saudara dua kanak-kanak itu juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan anak-anak saudaranya itu menghubungi bapanya di talian 014-3233503. 




Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din mengesahkan kejadian dan telah menerima laporan yang dibuat oleh keluarga terbabit. 

"Polis telah menerima laporan yang dibuat keluarga terbabit dan kini membuka kertas siasatan berhubung kejadian. Siasatan awal mendapati kanak-kanak berkenaan dilarikan individu yang dikenali dan menolak kanak-kanak berkenaan diculik," katanya.