'Dulu isteri aku lembut, suka ketawa dan senyum, tapi sekarang dia berubah sekelip mata' - Tanpa sedar suami terconfess pula kesilapan diri

Loading...

Di awal perkahwinan memang bahagia bila mana semua perkara dibuat bersama-sama. Namun lama kelamaan aktiviti bersama itu semakin berkurangan dan jika terlalu lama ditinggalkan, rumah tangga juga akan menerima kesannya. 

Luahan hati seorang suami yang bimbang dengan perubahan isterinya ini umpama peribahasa Melayu, "Kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak". 

Mana tidaknya, si suami tanpa sedar telah menyenaraikan segala punca yang menyebabkan isteri yang dulunya lemah lembut, ceria bagai berubah menjadi pemarah dan kerap mengungkit hal-hal yang lalu. 

ASSALAMUALAIKUM pembaca Kisah Rumah Tangga (KRT) semua. Sejujurnya aku tak pernah join group ini, tetapi aku betul-betul perlukan pendapat. 

Sudah enam tahun aku mendirikan rumah tangga. Sekarang isteri yang aku kenal dah tak sama seperti dulu. Jika dulu, isteri aku seorang yang lemah lembut, suka ketawa, suka senyum. Tetapi sekarang dia sudah berubah sekelip mata. 

Isteri aku berubah seperti menjadi orang lain. Aku sendiri adakalanya takut dengna perubahannya yang ketara ini. 

Kisahnya begini, sebelum ini isteri aku memang ada banyak kali meluahkan yang dia rasa aku tak peduli atau mementingkan dia. Aku tahu dia kerap menangis, aku tahu aku tak menjaga hati dia dan bab nafkah pun aku banyak abaikan. 

Aku mengaku yang selama aku menjadi suami, aku memang susah nak bagi nafkah untuk isteri, begitu juga dengna nafkah batin. Aku tak ada menghidapi masalah kesihatan dan aku tak ada pun perempuan lain yang bertakhta di dalam hati aku. Isteri aku comel, berkulit cerah.

Sekarang dia rasa aku mengabaikan dia, tak jaga hati dia. Yang menjadi lebih parah dan perubahan yang ketara selepas isteri aku terjumpa resit bank. Aku ada beri kawan pinjam duit dan aku ada bagi adik aku duit RM1,000. 


Sebelum itu juga aku ada bawa dia join member aku lepak. Tetapi dia tak gembira, dia kata kalau aku dengan kawan-kawan saja bila Tetapi bila bersama dengannya, dia kata aku tak happy. Dan ada masalah lain yang aku rasa tak perlulah aku nyatakan. 

Sekarang apa saja salah aku walaupun sikit, dia mudah naik angin dan marah sampai aku rasa dia seperti mahu membunuh aku. Berbeza sangat aku tengok dia sekarang. Kerja rumah semua dia buat, makan minum aku dan anak-anak pun dia uruskan dengan baik. Dia lebih banyak berdiam dan buat hal sendiri. 

Baru-baru ini dia marah aku dengan teruk. Sampaikan dia ungkit kisah semasa kami baru kahwin dulu. Dia kata dia macam orang bodoh hal yang bukan salah dia pun dia yang melutut meminta maaf. Ye, salah aku. Aku tahu isteri aku tak salah. Tetapi disebabkan aku nak menjaga hati ayah aku, aku paksa dia minta maaf. Adik aku yang buat salah pun aku suruh dia beralah meminta maaf. 


Sekarang banyak hal yang isteri aku akan ungkit bila dia marahkan aku .Sampai dia kata aku lebih mementingkan orang lain berbanding dia yang banyak susah bersama dengan aku. Ya, aku akui semua itu. 

Bab aku tak tolong jaga dia dalam pantang, habis semua dia ungkit. Bab nafkah pula dia sampai ugut aku yang selepas ini dia nak semua hak dia dan hak anak-anak. Dia siap sound aku bagi kawan-kawan pinjam boleh, bagi pinjam pada adik aku boleh, selepas ini jangan beri alasan tak boleh beri belanja nafkah untuk dia. Kalau tak, dia akan terus mengungkit dan tidak akan memaafkan aku. 

Apa yang aku perlu buat sekarang? Aku sayangkan isteri aku tetapi dia tetap cakap aku tak sayang. Aku cintakna isteri aku sangat tetapi dia tak percaya semua itu. Aku sayangkan anak-anak aku. Isteri pula kata dia nak aku lepaskan dia sebab selama ini dia rasa aku tak sayangkan dia dan tak pedulikan hati serta tidak menjaga nafkah batinnya. 


Lebih teruk lagi isteri kata dia dah mula tawar hati, malah tiada langsung perasaan sayang dan cinta seperti dulu. Aku takut sangat, kalau dia betul-betul tawar hati. Aku dah minta maaf tetapi dia seperti tiada perasaan. Dia siap kata dia takkan maafkan selagi smeua hak dia tak diberi.

Tolong beri pendapat yang membina, aku perlukan sokongan dan pendapat untuk memujuk isteri aku semula. Jangan kecam aku teruk-teruk, aku tengah serabut ni.