'Elak letak anak di kedudukan blindspot dalam kereta' - Doktor kongsi tips elak terlupa anak dalam kereta


Susulan kejadian seorang bayi perempuan berusia dua tahun maut akibat sesak nafas selepas tertinggal dalam kereta selama empat jam (dari jam 9 pagi - 1 tengah hari), ramai netizen yang melemparkan komen-komen negatif terhadap ibu mangsa tanpa mempedulikan perasaan keluarga mangsa yang sedang bersedih dengan kejadian yang tidak diingini itu. 

Bagaimanapun, usah terlalu mendabik dada kononnya anda tidak pernah atau tidak akan melakukan kesilapan seumpama itu. Apa yang berlaku sudah menjadi ketentuanNya dan netizen sepatutnya mengambil iktibar dan pengajaran dari kejadian tersebut. 

Dalam pada itu, Doktor Kamarul Ariffin Nor Sadan, berkongsi tips untuk ibu bapa dan penjaga agar kejadian tertinggal anak dalam kereta boleh dielakkan. Semoga bermanfaat. 


CARA ELAKKAN TERLUPA ANAK DI DALAM KERETA

Hari ini kita digemparkan lagi dengan berita kes kematian seorang kanak-kanak kerana ditinggalkan di dalam kereta diparkir untuk masa yang lama. (Sumber berita: https://goo.gl/DxtWTM). Kes seperti ini kerap berlaku dan biasanya disebabkan kelalaian ibu bapa. Insiden seperti ini boleh berlaku kepada sesiapa termasuk diri kita sendiri. Jadi, kita perlu tangani kelalaian ini.

Di sini saya ingin kongsi beberapa tips untuk mengurangkan kebarangkalian perkara ini terjadi kepada anak anda.

1. Jangan letak kerusi kanak-kanak di belakang kerusi pemandu. Di situ adalah titik buta (blindspot). LetLlak di bahagian belakang tempat duduk penumpang agar ia berada dalam ruang pandangan.

2. Sentiasa jadikan amalan untuk memeriksa dalam kabin (termasuk tempat duduk penumpang hadapan dan tempat duduk belakang) sebelum mengunci kenderaan anda. Mulakan amalan ini mulai sekarang.

3. Letak patung permainan di kerusi kanak-kanak. Apabila letak anak di dalam kerusi itu, pindahkan patung tersebut di tempat duduk penumpang hadapan. Pilih patung yang besar dan berwarna terang. Patung itu peringatan bahawa anak anda dibelakang.

4. Jika anda ada membawa beg susu anak anda bersama, sentiasa letak beg itu di bahagian hadapan. Konsepnya sama seperti tip ke-3. Ia peringatan bahawa anak anda ada di kerusi kanak-kanak di tempat duduk belakang.

5. Letakkan barang yang penting di belakang, bersama anak anda. Contoh: beg kerja, kunci pejabat, tag kerja, atau sebelah kasut anda di ruangan kaki di belakang. 

Nota: tidak digalakkan memandu tidak berkasut.

6. Letakkan tag/label pada pemegang pintu sebelah pemandu di bahagian luar, yang menandakan anak anda di dalam kereta. Label ini boleh dibeli atau dibuat sendiri menggunakan barangan di rumah. Contoh seperti dalam gambar di bawah.


7. Pesan kepada pihak sekolah atau pengasuh agar menelefon anda jika anak anda tidak tiba ke sekolah atau di rumah asuhan pada masanya. Boleh juga pesan pasangan anda untuk mengingatkan anda, terutamanya jika ada bertukar rutin menghantar anak.

8. Guna peranti (device) atau aplikasi telefon untuk mengingatkan anda bahawa anak anda di dalam kereta. Contohnya: ChildMinder SoftClip atau aplikasi Kars 4 Kids Safety.

Nota: harganya tidak murah dan aplikasi memerlukan kereta mempunyai fungsi Bluetooth.


9. Bagi yang selalu guna aplikasi navigasi Waze, boleh pilih untuk hidupkan aturan Child Reminder ( Settings>Advanced Settings>General>Child Reminder). Waze akan mengingatkan anda sejurus sampai destinasi.

Jika anda ada tips lain, boleh kongsikan di ruangan komen.

www.facebook.com/chaku

Nota : Tak usah membawang. Kita fokus pada penyelesaian. Ikuti saya untuk tips kesihatan dan parenting terkini.