Gangguan bekalan air di Pekan 5 April, 6,561 pengguna diminta simpan bekalan air


Kira-kira 6,561 pengguna akan mengalami gangguan bekalan air di Pekan, Pahang, berikutan kerja-kerja penyelenggaraan di Loji Rawatan Air Chini, lapor Sinar Harian

Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Nurul Farhana Abdul Hamid berkata, kerja-kerja penyelenggaraan itu akan mula dijalankan pada jam 9 pagi sehingga jam 8 malam pada 5 April ini. 

Antara kawasan yang terjejas ialah seluruh Felda Chini dan Chini Timur, Bandar 02, Kampung Gumum, Kampung Batu Balik, Air Hitam dan Kampung Paloh Hinai. 

"Beberapa kampung lain seperti Kampung Pulau Rumput; Kampung Padang Rumbia, Kampung Temal, Kampung Bangkong, Kampung Tebas Buang, Kampung Arong, Kampung Wah-Wah, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN ) dan Pelancongan Tasik Chini turut terjejas," katanya. 

Sehubungan itu, beliau menasihatkan para pengguna di kawasan-kawasan yang terlibat menyimpan bekalan air yang mencukupi sebagai langkah persediaan awal bagi menghadapi gangguan bekalan air sepanjang tempoh tersebut. 

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, pengguna dinasihatkan menghubungi talian Pusat Khidmat Pelanggan di talian 09-573 9999.