'Lelaki itu pukul kepala dan telinga sehingga isteri dan anak saya terjatuh' - Hanya kerana tidak sukakan warga asing, anak dan isterinya dipukul

Loading...

Jepun, negara yang dianggap sebagai selamat oleh pelancong. Namun bagi keluarga ini, mereka trauma dengan kejadian yang menimpa si isteri dan anak yang tiba-tiba dipukul oleh lelaki Jepun hanya kerana dia tidak menggemari kehadiran warga asing. 

Tidak mahu berdiam diri, si suami membawa kes itu ke mahkamah, namun disebabkan beberapa masalah yang timbul, dia tidak dapat menuntut keadilan buat anak dan isterinya, menyebabkan dia terkilan. Oleh yang demikian, dia akhirnya memaafkan dan menggugurkan dakwaan terhadap suspek. 

Hati-hati gais, tak sangat kejadian seperti ini boleh berlaku. 

HARI ini secara rasmi saya menggugurkan dakwaan terhadap seorang lelaki warganegara Jepun berumur 40-an yang telah dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isteri dan anak perempuan saya berumur 10 bulan. Allah sahaja yang tahu betapa amat terkilannya saya sebagai seorang suami dan ayah yang tidak dapat menuntut bela sepenuhnya di atas apa yang telah berlaku. Alhamdulillah, Allah swt masih sayangkan kami dan merahmati kami dengan kemaafan. 

KRONOLOGI KEJADIAN

17 Julai 2017

Kami sekeluarga bersama dua lagi keluarga Malaysia yang belajar di Universiti Nagoya pergi ke Nagoya Port untuk menyaksikan pertunjukkan bunga api bersempena Festival Hari Laut (Marine Day). Kami telah meletakkan kenderaan di roof top parking Cainz Mall berdekatan dengan Nagoya Port kerana keadaan terlalu sesak. Kami tiba jam 5 petang dan mengambil masa membeli belah sebelum pertunjukkan bermula. 

Tepat jam 7.30 malam, kami berkumpul di bahagian hadapan kereta bersama warga Jepun yang lain. Jam 7.50 malam, anak lelaki saya meminta untuk ke tandas dan saya telah menemaninya. Sekembalinya saya ke tempat isteri dan anak perempuan pada jam 8 malam, salah seorang rakan kami memaklumkan isteri dan anak saya telah dipukul seorang lelaki berbadan 'sumo' yang juga mempunyai isteri dan seorang anak. 

Isteri saya telah dibawa ke kereta oleh saksi bagi menenangkan keadaan. Saya terus mengejar kenderaan yang dinaiki lelaki tersebut yang cuba melarikan diri kerana salah seorang saksi wanita warga Jepun telah bertindak melaporkan kejadian itu kepada pihak polis. 

Saya sempat mengejar kereta tersebut yang tersangkut kerana keadaan jalan yang sesak. Saya pergi ke pintu pemandu sambil meminta dia memberhentikan kenderaan. Namun isterinya hanya menundukkan kepala beberapa kali sebagai tanda maaf. 

Saya tidak dapat melihat wajah suspek kerana cermin belakang kenderaannya yang gelap. Setelah beberapa kali mencuba dan masih tidak berhenti, saya telah mengambil gambar kereta suspek dari semua arah. 

20 minit selepas kejadian, pihak polis tiba dan mengambil keterangan. Mengikut keterangan saksi, seorang lelaki berbadan besar datang dari arah belakang isteri saya dan memukul bahagian kepala dan telinga sehingga isteri dan anak saya terjatuh dan sempat disambut oleh rakan perempuan yang berada di hadapannya. Lelaki itu telah memarahi tiga orang warga asing (dua Malaysia termasuk isteri dan rakan, seorang dari Kanada). 

Dia telah mengeluarkan kata-kata kesat dan juga memberitahu bahawa dia membenci orang asing. Menurut wanita warga Kanada itu berkata, berdasarkan bau badan dan mulut, lelaki itu bukan berada dalam keadaan mabuk. Isteri lelaki itu kemudian bertindak menarik suaminya ke kereta dan melarikan diri apabila rakan kami mengugut untuk menghubungi pihak polis.

18 Julai 2017

Akibat gangguan emosi isteri dan perasaan marah dialami kami sehingga tidak mampu melelapkan mata, saya telah merujuk kes ini kepada penyelia di tempat pengajian dan dia telah menemani kami untuk mendapatkan rawatan dan pergi ke balai polis untuk membuat laporan. Isteri dan anak saya disahkan mengalami kecederaan di bahagian telinga dan muka. Kami melalui proses soal siasat oleh pihak polis sebanyak empat sesi termasuk melakonkan semula kejadian, mengenalpasti gambar suspek dan menemani saksi kejadian untuk memberi keterangan. 

25 Januari 2018

Kami juga telah disoal siasat oleh pendakwaraya Mahkamah Nagoya pada 25 Januari 2018. Setiap sesi soal siasat mengambil masa tidak kurang dari tiga jam. Bukan seperti yang selama ini kita lihat dalam cerita Detektif Conan. 

Dalam masa yang sama, penyelia saya telah menerima panggilan dari pihak peguam bela suspek bagi memohon maaf bagi pihak anak guamnya dan memohon agar masalah ini diselesaikan di luar mahkamah. Namun 'Sensei' telah menolaknya beberapa kali. Suspek telah ditahan reman selama satu hari oleh pihak polis akibat kedegilannya untuk hadir ke balai bagi memberi keterangan. 

Hampir tujuh bulan selepas kejadian, sepanjang tempoh itu juga menanggung tekanan dan gangguan masa, akhirnya saya terpaksa meminta persetuju dari 'Sensei' untuk mengakhiri kes ini di luar mahkamah dan memaafkan suspek di atas permintaan isteri dan juga kekangan saksi utama yang tidak dapat hadir untuk memberi keterangan seterusnya kerana sudah tamat pengajian pada penghujung bulan 3 ini. Sensei terpaksa bersetuju dan menguruskan penyelesaian kes di luar mahkamah melalui penguambela suspek. 

Berat hati Sensei nak menamatkannya kerana jika diteruskan, 99% kemungkinan suspek akan dijatuhi hukuman bersalah, membayar denda dan diletakkan dalam rekod jenayah. Buat pengetahuan semua, rekod jenayah di Jepun adalah sesuatu yang berat sehingga orang tersebut tidak mampu menjalani kehidupan seperti biasa. Contohnya tidak boleh menyewa rumah dan pelbagai laig sekatan. 

9 Mac 2018

Saya menerima surat dari pihak penguambela suspek dengan persetujuan mengakhiri kes di luar mahkamah dan surat memohon maaf secara rasmi dari supek. Kami menandatangani surat tersebut dan hari ini saya telah menghantarnya kembali. 

Sehingga saat ini saya masih terfikir, bagaimana seorang lelaki yang juga bersama isteri dan anak kecilnya tergamak memukul isteri dan anak saya dan ia berlaku di negara yang saya selama ini menganggapnya selamat.

MORAL DARI KEJADIAN INI:
  1. Tidak kira ke mana pun ktia pergi dan menganggap negara yang kita lawati itu selamat, kita tetap perlu berhati-hati.
  2. Kita orang asing di negara orang. Layanan tetap akan jadi double standard walaupun kita berada di pihak yang benar.
  3. Memaafkan bukan bererti kalah, tetapi memaafkan itu satu rahmat yang tidak dapat dikalahkan. 
  4. Pengajian peringkat PhD ada macam-macam dugaan. Kalau tak diduga dalam pengajian, diduga dalam kehidupan seharian. 
  5. Redha itu benteng dan pengubat hati. Lihat satu dalam bantuk, lihat banyak dalam satu. 

Maafkan saya. Semoga bermanfaat.

Nagoya University, Jepun