'Panama Dance haram kerana percampuran lelaki dan perempuan bukan mahram' - Mufti Negeri Sembilan

Loading...

Sejak viralnya Panama Dance, semakin galak pula beberapa pihak termasuk agensi kerajaan menyahut cabaran berkenaan kononnya dengan alasan bersenam. 

Tampil beberapa pihak membuat teguran mengenai Panama Dance, namun golongan berkenaan tidak mengendahkan teguran itu, malah ada agensi kerajaan yang menyalahgunakan laman Facebook rasminya untuk mengajak kakitangannya membuat tarian tersebut. 

Kedegilan golongan ini bukan sahaja mengaibkan diri tetapi juga mencemarkan imej penjawat awam di mata rakyat, sekali gus memberi persepsi yang negatif terhadap penjawat. Namun sehingga kini tiada sebarang teguran dari pihak atasan. 

Dalam laporan Utusan Malaysia, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, Panama Dance yang menjadi kegilaan masyarakat hari ini adalah haram dilakukan kerana membabitkan percampuran lelaki dan perempuan bukan mahram. 

Menurutnya, tindakan berkongsi video tarian itu di media sosial juga haram kerana ia jelas menunjukkan susuk tubuh wanita yang sepatutnya hanya boleh dilihat oleh mahram mereka sahaja. 

"Mungkin ada sesetengah itu hendak menggunakannya sebagai rujuk melakukan senam robik di dalam bilik mereka. Bagaimanapun masih tidak menghalalkan kita untuk menyebarkan secara terbuka wanita menutup aurat berjoget sebegitu. 

"Mereka yang hendak buat tarian itu janganlah dirakam, dimuat naik dan jangan dikongsi ke media sosial. Jangan biarkan bukan mahram melihat susuk tubuh anda berlenggang-lenggok sedemikian rupa. 

"Jaga maruah dan jaga aib anda sebagai seorang muslimah," katanya. 

Tarian Panama bukan sahaja dilakukan individu, malah telah 'berjangkit' kepada agensi dan jabatan kerajaan serta syarikat swasta yang seolah-olah berlumba-lumba menunjukkan 'kehebatan' tarian Panama masing-masing | Foto: Utusan Online
Sementara itu dalam laporan yang sama, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman juga menasihati orang ramai agar tidak mengajak dan terikut-ikut dengan tarian viral berkenaan. 

Beliau berkata, orang ramai jangan bersikap terlalu liberal dalam sesuatu perkara dan hendaklah sentiasa mengikut sunnah Rasulullah SAW. 

"Kita lihat mereka yang muat naik video itu, kapsyen mereka pastinya seperti mengajak mereka membuat tarian sama iaitu bercampur lelaki dan perempuan. 

"Kalau ktia buat benda haram, jangan mengajak orang lain buat benda yang sama. Biarlah buat trend yang sama-sama dapat pahala. Islam itu mudah tetapi jangan bermudah-mudahan," katanya.