Pengantin tanggung malu, katerer hidang makanan basi pada tetamu


Perancangan telah dibuat selama setahun agar majlis persandingan berjalan dengan lancar, malangnya syarikat khidmat katering yang dipilih oleh pasangan pengantin ini gagal menunaikan janji, malah menyebabkan mereka terpaksa menanggung malu. 

Pasangan raja sehari, Nur Syuhada Syuhadah, 24, dan suaminya, Mohd Azrien Ramli, 30, kesal kerana majlis perkahwinan mereka yang sepatutnya meriah dan menjadi kenangan hidup tidak menjadi seperti yang dirancang.

Majlis yang diadakan di Kompleks Jawantankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Gadek, Alor Gajah, Melaka pada 13 Februari lalu terjejas kerana syarikat berkenaan bukan sahaja tidak menunaikan janji malah menghidangkan makanan basi kepada para tetamu majlis berkenaan.

Lebih teruk lagi, syarikat terbabit juga tidak menyediakan hidangan istimewa untuk pasangan berkenaan. 

Nur Syuhada bekerja sebagai pembantu akaun berkata, dia telah merancang majlis itu sejak awla Februari 2017 dan bersetuju untuk menggunakan khidmat syarikat katering itu yang berpangkalan di Rawang, Selangor, selepas tertarik dengan iklan yang ditawarkan di Facebook. 

Menurutnya, syarikat katering itu menawarkan perkhidmatan jurugambar, pelamin, makanan untuk 1,000 tetamu, hidangan pengantin dan jurusolek dengan harga promosi RM15,700.

"Saya tertarik dengan harga ditawarkan. Pembayaran dilakukan menerusi tiga transaksi bernilai RM13,000 dibuat sebelum majlis persandingan. 

"Namun seminggu sebelum majlis, naluri saya mengataan ada yang tidak kena berikutan wakil syarikat katering itu menghubungi saya dan memberitahu mereka tidak dapat menyediakan jurugambar dan jurusolek.

"Ketika itu, saya sudah dapat membayangkan perkara buruk yang bakal berlaku pada hari perkahwinan kerana terlalu risau, terlintas di fikiran saya untuk membatalkan sahaja majlis itu," katanya.

Sumber: Harian Metro