(Video) 'Saya hanya menahan air mata, dalam 2 jam tak sempat ambil katering lain' - Rugi RM17,350 dianiaya syarikat katering yang kononnya 'pakar'

Loading...

Gara-gara tindakan tidak bertanggungjawab sebuah syarikat pakej perkahwinan, majlis yang sepatutnya diraikan dengan gembira dan bahagia bertukar menjadi cemas dan huru hara apabila ahli keluarga pengantin terpaksa mencari kedai makan selain membeli barang untuk dimasak dan dihidangkan kepada tetamu yang hadir. 

Ibu kepada pengantin perempuan, Hapizah Abd Ghani, 58, marah dan terkilan dengan tindakan tidak bertanggungjawab syarikat yang bertapak di Sungai Buloh itu yang telah menjejaskan majlis perkahwinan anaknya pada 24 Mac lalu.

"Suasana hari itu sungguh cemas apabila kami terpaksa mencari kedai makan selain membeli barang untuk masak jamuan tetamu yang akan hadir," katanya memetik laporan dari Harian Metro

"Pada hari itu kami kelam kabut untuk mencari semua lauk dan untuk dimasak dengan apa yang terdaya. Mereka (saudara-mara) dengan pakai baju lawa kena bertungkus lumus memasak, kopek bawang semua sekali. 

"Dalam masa dua jam, saya tidak sempat untuk mengambil katering lain. Bila tak cukup lauk, kami beli dari seluruh kedai yang ada di kawasan Pandan Indah untuk menjamu tetamu majlis," katanya.

Dalam laporan itu, syarikat berkenaan yang dikatakan 'pakar' dalam bidang tersebut telah menganiaya lebih sembilan mangsa yang membabitkan kerugian hampir RM500,000 sejak seminggu lalu. 

Menurut Hapizah, majlis perkahwinan itu adalah majlis pertama dalam keluarganya dan tidak menyangka syarikat berkenaan tidak menjalankan amanah seperti yang telah dijanjikan. Disebabkan kejadian itu, pihaknya juga terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM17,350 selepas membuat pembayaran pakej perkahwinan anak perempuan termasuk majlis kenduri pada 15 Februari lalu.

"Saya hanya menahan air mata ketika majlis berlangsung demi menghiburkan hati saudara-mara dan tetamu yang hadir walaupun sebenarnya kesedihan itu hanya Allah SWT saja tahu," kata ibu kepada lima orang anak itu. 

"Kesian saudara-mara pakai cantik dan lawa terpaksa bertungkus-lumus menyiapkan hidangan yang sepatutnya tiba jam 10 pagi ketika hari kejadian. Saya beberapa kali cuba menghubungi pihak syarikat berkenaan pada hari itu tetapi gagal," katanya yang turut hairan mengapa syarikat itu tidak menghubungi dan memaklumkan kepada mereka lebih awal jika timbul masalah yang tidak diingini. 


Terdahulu, viral di media sosial luahan abang kepada pengantin perempuan yang tidak berpuas hati dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak syarikat berkenaan. Malah katanya, mereka telah diugut dengan saman jika tidak memadamkan posting berkenaan dari Facebook. 

BERITA BERKAITAN: