'Susah nak cari mertua begini, yang bagus dan tak campur hal anak-anak yang sudah berkahwin' - Netizen

Loading...

Jangan biasakan diri bergantung kepada orang tua apabila sudah berumahtangga. Belajarlah untuk berdikari dan membentuk serta menjaga keluarga sendiri. Tidak mengapa jika terbuat kesilapan kecil kerana dari situlah sesebuah pasangan itu belajar memahami dan cuba bertoleransi dengan pasangan. 

Confessor berusia 50 tahun, namun pengalaman berdepan dengan dua anak lelaki masih bergantung harap kepadanya membuatkan dia rasa tidak patut dan perlu ditegur demi kebaikan mereka sendiri.  Apa yang si ibu ini lakukan? Bagaimana cara dia mengatasi masalah itu? Lain orang lainlah caranya.  Semoga bermanfaat. 

HI MIN! Saya berusia 50 tahun dan bekerja di sektor kerajaan. Saya ada enam orang anak di mana semuanya lelaki. Dua daripadanya sudah berumahtangga, seorang bekerja dan tiga lagi masih bersekolah. 

Saya memang mengharapkan anak perempuan, tetapi Tuhan beri rezeki menantu sebagai anak perempuan. Semua anak saya tinggal bersama, tetapi sejak anak yang sulung sudah berkahwin, saya suruh dia mencari tempat tinggalnya sendiri. Akan tetapi, dia kata nak tinggal dengan saya. Saya hanya memberi keizinan tinggal bersama sebulan dua sahaja, selepas itu saya halau dan suruh dia mencari tempat tinggalnya sendiri. 

Macam mana dia nak bermesra dengan pasangannya kalau masih tinggal bersama orang tua? Saya buat begitu sebab saya tahu anak saya ini jenis yang suka melaporkan apa saja kegiatan mereka. Saya malas kalau termasuk campur pula dalam hal mereka bergaduh. Selagi saya rasa mereka boleh selesaikan sendiri, mereka selesaikanlah sendiri. 

Tetapi yang isterinya bila merajuk pun sama juga, melapor kepada saya. Saya kata, "Kau pujuklah sendiri."

Anak kedua pun sama seperti itu juga, selalu mengadu yang bila mana isterinya penat, terus malas memasak.

"Kalau isteri kamu penat, kamu sajalah yang ganti tempatnya untuk memasak. Apa susah sangat, semua nak mengharap isteri saja. Isteri bukan tempat kamu nak tabur benih saja, tapi dibaja oleh seorang, dituai hasilnya bersama suami. Patutnya suami isteri buat segala hal bersama-sama," saya kata kepadanya. 

Kata anak saya lagi, isteri dia rasa tidak selesa apabila balik ke rumah saya. 

"Itu masalah kamu yang perlu membuatkan dia rasa selesa sebab kamu yang membesar di rumah ini. Isteri kamu pula baru nak menyesuaikan dirinya di rumah itu. Itulah tanggungjawab kamu sebagai suami," kata saya lagi.

Saya bukan apa, nampak kejam tetapi kalau anak lelaki tidak pandai mempertahankan isteri, tidak pandai menjadi ketua keluarga, sampai bila nak berharap pada orang tua? Saya melayani menantu saya dengan baik sebab anak saya pun menantu orang juga. Harap mereka juga dilayan dengan baik dan begitu juga dengan cucu-cucu saya yang satu hari kelak akan menjadi menantu orang. Saya sendiri pun menantu orang dan pernah juga mendapat layanan kurang baik serta dibanding-bezakan.

Saya berharap semua lelaki berusahalah mencari kehidupan demi keluarga kerana pada zaman ini ramai lelaki yang rajin buat anak, rajin menambah isteri tetapi kebajikan isteri serta anak tidak terjaga.