(Video) Pasangan remaja disyaki berdua-duaan, disiram dengan air longkang


Viral di media sosial sejak Selasa lalu, video amatur yang menunjukkan sepasang kekasih sedang disiram dengan air longkang, lapor Tribun News

Difahamkan kejadian itu berlaku di Kayee Lee, Ingin Jaya, Aceh Besar, pasangan terbabit yang hanya dikenali sebagai Ar, 19, dan H, 18, disiram dengan air longkang oleh penduduk di kawasan itu kerana ditangkap dan disyaki berdua-duaan. 

Ketua Polis Daerah Ingin Jaya, AKP Nazarul Fitra berkata, mengesahkan kejadian itu berlaku pada petang Isnin lalu di mana pasangan remaja berkenaan disyaki berdua-duaan di dalam sebuah rumah kosong. 

"Pasangan berkenaan ditangkap sekumpulan penduduk yang mengesyaki mereka berdua-duaan dalam sebuah rumah kosong milik keluarga Ar. 

"Tetapi belum dapat dipastikan apa yang mereka berdua lakukan dalam rumah tersebut," katanya. 

Ketika polis tiba di tempat kejadian, pasangan terbabit berada dalam keadaaan basah dan kotor akibat disiram dengan air longkang oleh beberapa penduduk.

Polis kemudian mengawal keadaan dan menenangkan para penduduk dari terus menghukum pasangan berkenaan, sebelum kedua-duanya dibawa ke balai untuk disoal siasat. 







Siasatan awal mendapati, pasangan berkenaan merupakan pasangan kekasih dan remaja perempuan terbabit datang untuk bertemu dengan teman lelakinya. 

Bagaimanapun, mereka dicekup oleh sekumpulan pemuda dan dibawa lokasi kejadian untuk dihukum di depan orang ramai. 

Nazarul berkata, pihaknya akan berkerjasama dengan pihak berkuasa syariah untuk tindakan lanjut.

Sementara itu di media sosial, netizen mengecam tindakan para penduduk yang bertindak secara melulu dan mengambil tindakan sendiri untuk menghukum pasangan berkenaan.

"Biar polis buat kerja mereka, orang awam tidak perlu nak menghukum orang lain. Negara kan ada undang-undang," kata Nick Arffiq.

"Macamlah diri mereka semua itu sempurna sangat sehingga sanggup melakukan orang lain seperti itu. Yang melakukan perbuatan itu juga bersalah dan berdosa berkali ganda," kata Farah Izzaty.

"Kalau tak silap, sememangnya menjadi adat turun temurun mereka, sesiapa yang ditangkap basah akan dimandikan dengan air longkang," kata Are Cap.