'3-4 round tunggu lif, tak dapat masuk sebab ramai pentingkan diri' - Pengunjung IOI City Mall luah rasa kesal


Penggunaan perkhidmatan lif di pusat beli-belah sepatutnya diberi keutamaan kepada golongan ibu mengandung, ibu bapa yang membawa anak-anak kecil, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU). Namun masih ada masyarakat yang mementingkan diri meskipun peringatan telah diberi. 

Baru-baru ini seorang pengunjung pusat beli-belah IOI City Mall Putrajaya meluahkan rasa kesalnya berhubung perkara itu dan meminta pihak pengurusan berkenaan mengambil tindakan yang lebih agresif agar pengunjungnya lebih peka dan mengutamakan golongan-yang memerlukan. 

"IOI City Mall, tolong ambil tindakan bagi memastikan hanya golongan yang sepatutnya sahaja menggunakan perkhidmatan lif. 

"Saya tahu ada notis kecil yang ditampal berhampiran lif, tetapi peringatan seperti itu tidak cukup," tulis Luqman Hariz di Facebooknya semalam. 


Menurut Luqman, ramai pengunjung yang tidak bertimbang rasa memenuhi lif walaupun mereka berkemampuan untuk menggunakan eskalator sehingga menafikan hak golongan yang sepatutnya. 

Keadaan menjadi lebih teruk apabila di hujung minggu atau di waktu puncak di mana golongan yang sepatutnya diberi keutamaan terpaksa menunggu lif untuk jangka masa yang lama. 

"Sudah banyak kali saya datang ke IOI City Mall ini dengan bayi saya (dalam stroller) dan ayah saya yang menggunakan kerusi beroda. Kami terpaksa menunggu lif itu 3-4 kali sebelum dapat menggunakannya. 



"Minggu lalu, kami langsung tidak dapat menggunakan lif selepas menunggu 3-4 kali kerana lif dipenuhi dengan orang-orang yang tidak sepatutnya termasuklah pekerja di situ. Keadaan itu membuatkan saya berputus asa dan terus melipat semula stroller bayi saya dan mendukung anak saya kerana terpaksa menggunakan eskalator. 

"Kalau pihak anda mengambil berat tentang keperluan pengunjung, tolong lakukan sesuatu yang lebih baik dari hanya menampak notis kerana orang ramai tidak mengendahkan notis tersebut," tulisnya. 


Luqman turut mencadangkan pihak IOI City Mall menempatkan pengawal keselamatan mereka di setiap lif untuk memantau para pengunjung yang menggunakan perkhidmatan tersebut bagi memastikan hanya golongan yang berhak sahaja menggunakannya. 

Susulan insiden itu juga, Luqman telah membuat aduan terhadap pihak pengurusan IOI dan berharap pihak berkenaan memandang serius pada aduannya dan mengambil tindakan segera.