'Abang kalau nak berdoa apa-apa, jual nama mak'


Doa itu adalah satu bentuk permohonan, permintaan dan dalam konteks agama Islam, doa adalah satu tanda pengabdian, penghambaan kita sebagai makhluk kepada Pencipta kita, Allah swt. Juga salah satu tanda kasih sayang kita.

Doa yang sangat sangat penting dalam hidup kita iaitu doa ibu bapa. Kenapa doa ibu bapa itu dikatakan doa yang makbul, tanpa hijab? Ia adalah anugerah dari Allah swt. Segala pengorbanan mereka, kedua ibu bapa kita, memang wajarlah Allah swt anugerahkan kepada ibu bapa anugerah doa yang makbul. 

Sementara masih mempunyai ibu ayah, mohonlah kepada mereka untuk mendoakan kita. Tak menjadi masalah pun andainya kita cakap, ‘ibu, doakan saya. ayah, doakan saya’ hatta berapa umur kita sekalipun. Percayalah, sungguh, akan ada satu masa kelak kita akan rindukan doa ibu ayah kita. - IIUM Confessions

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk kita semua.

TEMPOH hari, terdengar perbualan telefon di antara suami saya dengan ibu bapanya. Sambil-sambil berborak itu, suami saya tekan loudspeaker agar senang si kakak (anak) nak mencelah berborak dengan aki dia. Terdengar mak kata, 

"Abang, kalau nak berdoa apa-apa, jual nama mak," katanya. 

Saya tak faham. Kemudian mak sambung lagi. 

"Kalau abang berdoa nak bawa Efa pergi umrah, doa macam ni, 

"Ya Allah, permudahkanlah urusanku untuk membawa isteri aku pergi umrah. Semoga aku dapat bawak mak sekali"

"Kalau abang nak beli rumah, doa macam ni,

"Ya Allah, lancarkanlah urusan beli rumah aku agar bila mak aku datang melawat nanti, dia selesa," 

Mak kata, insyaAllah doa itu naik serta-merta tanpa hijab. Kemudian mak berkongsi tentang satu ceramah yang dia hadiri.

Ada seorang sahabat Nabi ini, rupa dia gelap dan badannya gemuk. Tetapi dia ada isteri yang sangat cantik. Lalu sahabat-sahabat Nabi pun bertanya kepadanya, bagaimana dia boleh mendapat isteri yang cantik seperti itu? 

Dia pun berkata, "Setiap hari aku berdoa pada Allah. 

"Ya Allah, kurniakanlah aku isteri yang mana bila mak aku memandang wajahnya, mak aku terus berasa sayang dan kasih padanya." 

Nampak tak? Selepas ini bila nak berdoa, bolehlah selit nama mak yang mana masih ada mak itu. Kalau dah tak ada ibu macam saya, gunalah nama ayah. Nama mak mertua dan bapa mertua pun boleh. Darjat mereka sama dan tiada beza pun. Lagipun tanpa doa mak ayah, tak kemana kita semua, kan?

Gambar aki dan tok bersama dua ketul kesayangan. | Foto Ikhfa Musa

Sumber: Ikhfa Musa