'Aku betul-betul rasa bersyukur sebab ikut nasihat boss aku tu' - Batal hasrat beli kereta, akhirnya wanita ini miliki rumah sebelum usia 30 tahun

Loading...

Ramai pakar kewangan dan hartanah sentiasa memberikan nasihat kepada golongan muda atau yang berpendapatan rendah dan sederhana agar tidak menjerat diri dengan hutang dan liabiliti di masa muda. Ini kerana kesannya amat buruk dan mampu menjejaskan kewangan diri. 

Adilah pada awalnya merancang mahu membeli kereta dan hasratnya itu disokong ramai. Namun tidak bagi majikannya yang seboleh-bolehnya mengubah fikiran dia untuk mementingkan aset lain yang lebih utama iaitu rumah. Semoga perkongsian dari Adilah ini bermanfaat untuk anda semua.

DULU masa mula-mula aku nak beli kereta, ramai yang menyokong. Tetapi ada seorang ini yang betul-betul menentang keputusan aku, sehingga aku rasa tak nak beli kereta sampai bila-bila. LOL! Nak tahu siapa yang tak bagi aku beli kereta itu? 

My boss, dia nasihatkan aku jangan beli kereta. Ya, boss aku. Aku ni jenis berfikiran logik dan realistik punya orang. Kalau benda yang orang itu kata logik dan masuk akal, aku akan ikut cakap dia. 

Dia pesan pada aku, "Pertama sekali, fikir masak-masak kenapa awak perlukan kereta? Adakah ia satu keperluan?" 

Dia pesan lagi, kalau betul perlukan kereta, tak perlu beli kereta mahal-mahal, cukup sekadar boleh memudahkan kau travel. Yelah, itu saja kan fungsi sebuah kereta? Ada fungsi yang lain ke? 

"Beli saja kereta terpakai dan bayar cash." kata boss. 

PERGHH! Dia ingat aku punya duit beribu riban? Hahaha! 

"Awak masih muda lagi dan kenapa awak nak bazirkan duit pada benda-benda yang bukan keperluan? Awak dah selesaikan hutang pinjaman PTPTN?" soalnya. 

FUH!! Masa ini rasa macam baru sedar diri. Hahahaha! 

"Dan pastikan awak tidak terjerat dengan hutang di usia muda begini. Beli aset, elakkan liabiliti!" itulah nasihat dari dia yang aku ingat sampai sekarang. 

Kenapa aku cakap pendapat dia ini realistik? Sebab aku suka cara boss aku. Dia praktikkan apa yang dia cakap, bukan seperti orang lain yang bagi nasihat tetapi tak serupa bikin. 

Boss aku ni, selain dia ialah seorang boss aku, dia juga memiliki sebuah rumah yang nilainya mencecah RM1 juta. Malah dia juga membuka pusat gym dengan rakannya sebagai pendapatan sampingan. Rumah dia juga ada penyewa, dia sewakan salah sebuah biliknya kepada orang lain. 

Jadi, masa aku tahu benda ni, aku pun berkira-kiralah dia punya pendapatan:
  • Gaji sebagai bos (senior manager dalam syarikat)
  • Duit bilik sewa (untuk rumah yang berharga RM1 juta)
  • Pendapatan sebagai pemilik pusat gym

Hmm, murung jugalah bila kira jumlah keseluruhan income dia ni dan dia masih menggunakan keretanya, Perodua Kelisa ke pejabat setiap hari. Dia memang tiada kereta lain, hanya ada Perodua Kelisa sahaja. Boleh bayangkan tak? Adakalanya dia pergi pejabat pun guna portable scooter sahaja. 

Jadi aku tanya kenapa dia tak beli kereta baru? 

"Saya tak nak sebab saya dah selesai bayar hutang kereta. Untuk apa saya perlukan kereta baru?" 

Okey, WIN! 

Senang cerita, dia tak nak berhutang tetapi dia nak buat duit saja kerjanya. Masa ini aku dah nampak dah perangai boss aku ini macam mana dan dia merancang untuk membeli lebih banyak hartanah. Sebab itu dia tak fikir pun nak beli kereta baru ke apa. 

"Awak mesti fikir saya seperti Cina yang lain kan? Jangan risau, kawan-kawan Melayu saya juga menyangka begitu, hahahaha!" katanya. 

"Kawan saya selalu kata saya tamak sebab saya selalu nak buat duit walaupun kewangan saya sudah mencukupi. Tetapi perlu tahu, kita perlu kerja peluang yang ada atau orang lain yang akan ambil peluang itu," katanya. 

Disebabkan itulah aku tak jadi beli kereta. Boss aku ni boleh dikatakan kaya orangnya, dia masih bujang dan tiada apa-apa komitmen serta masih memandu kereta Perodua Kelisa. Bila tengok dia pandu kereta Kelisa, mungkin ramai orang yang akan kata dia ni biasa-biasa saja kot. 

Omputih kata, "Earn and acquire assets like the rich, spend like the poor." 

Benda itulah yang dia amalkan. Kalau nak berbelanja buat macam cara tak ada duit, macam orang yang tak mampu. Tetapi bila kau nak kumpul aset, masa ini barulah kau tunjuk yang kau betul-betul kaya. 

Bukannya beli handbag Prada, Gucci, Chanel guna kad kredit tetapi dalam handbag hanya ada tunai RM10 sahaja. Bukannya beli kereta Myvi Advance tetapi bila nak isi minyak, minta duit dari ibu bapa. Dan bukannya nak beli iPhone X tetapi buat kontrak bayaran ansuran selama dua tahun. Itu semua membazir anak muda! 

Boss saya nasihatkan saya kumpul aset sebelum umur mencecah 30 tahun mesti ada sebuah rumah. FUH! Dia cabar aku! Maka terkial-kiallah aku mengumput duit untuk membayar hutang PTPTN secara konsisten agar rekod CCRIS saya bersih. 

Jadi aku pun berazamlah nak ada sebuah rumah sebelum usia 30. Kata-kata kan satu doa, mana tahu makbul. Aminkan cepat reramai please!

Jadi tengah hari tadi aku check email, ada email dari PR1MA. Aku dah isi benda ini sejak 2016 dan tahun ini baru dapat jemputan. Harapnya ada peluang dan rezeki untuk aku memiliki rumah pertama Ya Allah. Sama-sama aminkan ya. Semoga urusan ini dipermudhakan Allah. 


Aku betul-betul rasa bersyukur sebab aku ikut nasihat boss aku itu. Kalau tak, masa ini memang ke lautlah jawabnya. Aku nak jadi seperti dia yang bersikap realistik untuk mengapai matlamatnya. 

Sumber: @adilah_aziz