Ambil pembantu rumah untuk dibelasah


Baru hari pertama bekerja, seorang wanita warga emas yang bekerja sebagai pembantu rumah, ditumbuk oleh majikannya, lapor Harian Metro. 

Mangsa, Siti Hajar Mohd Yatim, 62, mendakwa dia telah dibelasah oleh majikannya sehingga menyebabkan dia hampir hilang pendengaran dan tidak mampu berjalan dalam kejadian pertengahan bulan Mac lalu di kediaman majikannya di Setapak. 

Selain dibelasah, mangsa juga mendakwa dia diludah dan dimaki hanya kerana majikannya tidak berpuas hati dengan beberapa perkara yang remeh dan tidak masuk akal. 

Tidak mampu lagi bertahan dengan 'penderaan fizikal' yang dilakukan oleh majikannya, Siti Hajar nekad melarikan diri pada 4 April lalu biarpun terpaksa memanjat tembok setinggi dua meter kediaman itu sebelum meminta bantuan dari orang awam. 

Menceritakan kembali kejadian itu, Siti Hajar menjelaskan dia ditawarkan oleh saudaranya untuk bekerja sebagai pembantu rumah dengan gaji RM900 sebulan dan dia bersetuju dengan tawaran itu. 

"Pada awalnya saya berjumpa majikan iaitu seorang lelaki berusia 50-an dan pertemuan itu tidak menggambarkan dia seorang yang panas baran atau kaki pukul.

"Namun pada hari pertama saya bekerja, dia 'menghadiahkan' tumbukan di muka hanya kerana tidak berpuas hati dengan beberapa perkara termasuk dituduh mencuri makanan," kata Siti Hajar yang masih membujang. 

Kehidupannya di rumah tersebut, bagaikan neraka apabila dia dipukul dan dibelasah dengan kayu serta rotan sehingga menyebabkan badannya mengalami lebam dan luka. 

"Majikan yang juga pemilik bengkel akan 'naik hantu' apabila anaknya mengadu saya ada buat salah atau dituduh mencuri wang dan tanpa usul periksa saya dipukul tanpa belas kasihan. Selain itu, majikan juga mengambil telefon bimbit, kad pengenalan dan kad bank kononnya bagi mengelakkan saya melarikan diri atau menghubungi ahli keluargau ntuk mengadu perkara berkenaan," katanya. 

Keadaan menjadi lebih teruk apabila mangsa dibelasah dan diugut oleh majikannya dengan menggunakan senjata tajam pada 4 April lalu apabila dia sekali lagi dituduh mencuri wang anak majikannya. 

"Saya nekad memanjat tembok pagar setinggi dua meter walaupun menanggung kesakitan dan sehelai sepinggang sebelum meminta pertolongan daripada orang ramai lalu dibawa ke Balai Polis Setapak untuk tindakan lanjut. 

"Saya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan dimasukkan ke wad selama seminggu sebelum kakitangan sebuah pusat kebajikan di bandar raya ini mengambil saya," katanya.


Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif mengesahkan menerima laporan dari mangsa dan siasatan lanjut sedang dijalankan.