Angkara peniaga dengki, kedai disimbah dan ditabur dengan benda-benda syirik


Takut bersaing dalam bidang yang diceburi menyebabkan ada segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab mengambil jalan mudah untuk menghapuskan pesaingnya dengan mengghukan khidmat ilmu sihir meskipun tahu bahawa perbuatan itu berdosa dari segi agama. 

Berniaga sejak dari tahun 1994 hingga kini, Cik Mun tidak pernah berputus asa walaupun anak-anaknya kini sudah dewasa dan mampu menanggung kedua ibu bapa mereka. Dalam tempoh itu juga, banyak kejadian yang ditempuhi termasuklah perniagaannya pernah disihir oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab. 

PUAS rasanya selepas berborak dengan tuan kedai ini tadi. Cik Mun, panggilan dan gelaran nama yang diberi. Seorang ibu, isteri dan juga seorang peniaga yang tabah. Usaha beliau untuk meneruskan mencari rezeki hasil berniaga ini ibarat menelan batu terludah emas. 

Pada tahun 1994, beliau adalah salah seorang peniaga yang terawal bertapak di bangunan Terminal Bas Kuantan. Menu Nasi Ayam Madunya memang tidak asing lagi bagi pelanggan-pelanggan sekitar tahun itu. Sebagai seorang isteri yang bersuamikan kakitangan kerajaan pada ketika itu, Cik Mun tidak pernah sesekali patah semangat untuk memajukan perniagaan nasi ayam madu. 

Tahun berganti tahun, hari memakan bulan, bahagia sebagai seorang peniaga tidak begitu kekal. Katanya, sekian lama berniaga di terminal bas itu, pelbagai dugaan perit peluh pecah tubuh kerana menghadap perangai-perangai manusia. 

Mana tidaknya, sebagai peniaga ada saja orang yang busuk hati, dengki dan khianat. Pernah sesekali Cik Mun terkejut dengan perbuatan orang-orang yang tidak berperi ini di mana kedainya dibaling, disimbah dan ditabur dengan benda-benda syirik demi menjatuhkan perniagaannya. 

Beliau tidak kedekut ilmu, masa itu ramai juga para peniaga yang mahu belajar darinya cara-cara membuat nasi ayam madu rempah dan sebagainya. Tetapi apakan daya, manusia ini bukan semuanya berperwatakan baik-baik belaka. Kebaikan yang dibuat oleh orang kadang-kadang memakan diri sendiri. Ada yang sanggup menikam dari belakag. 

Dalam membesarkan anak-anak katanya, dia dan suami berkorban demi perniagaan ini. Syukur setelah anak-anaknya sudah berjaya dengan hasil rezeki kedai ini. 

"Makcik sayang nak berhenti. Kalau orang dengki macam mana pun, biarlah makcik buat air, jual air pun tak apalah sebab makcik sayang pelanggan. Mereka ini semua adalah hasil rezeki makcik," katanya. 

Hampir 30 tahun menghambakan diri dalam bidang perniagaan rasanya, dengan usia Cik Mun sekarang ini pun masih ada manusia yang iri hati sehingga pernah satu kali pelanggan tak nampak kedainya disebabkan perbuatan jahat manusia. 

Cik Mun kini berniaga di bangunan UTC, di mana bangunan ini dulunya adalah tempat terminal bas utama Kuantan. Syukurlah sewa di sini masih okey. 

"Kenapa harga ayam madu makcik RM4.50?" saya tanya. 

"Makcik takut nak letak harga mahal-mahal, kesian pelanggan," katanya. 

"Makcik nampak sedih saja, kenapa?" 

"Makcik ada darah tinggi. Sekarang makcik cuma suka terapi diri dengan menanam bunga. Suka pegang-pegang pokok dan sambil-sambil itu boleh berzikir," katanya. 

Cik Mun kata, anak-anak dia dah boleh menanggung dia dan suami tetapi dia enggan pula menyusahkan anak-anaknya. 

"Makcik tak nak menyusahkan anak-anak. Lagipun kedai inilah tempat makcik bergantung untuk menanggung anak-anak. Sayang kedai macam sayang anak," katanya. 

Itulah serba sedikit mengenai Cik Mun yang saya dapat kongsikan. Setiap peniaga ada cerita baik dan buruk. Dalam baik itu lebih banya kmemberi kesan bagi mereka dan yang buruk itu pula memberi pengajaran untuk mendidik kita mengenal apa itu kehidupan. 

Terima kasih Cik Mun, masakan pun sedap. Kepada mereka yang teringin nak mencuba nasi ayam madu dan nasi lemak air tangan Cik Mun, bolehlah singgah ke UTC.


"Kenapa mereka yang berniat buruk dan berbuat jahat kepada makcik, makcik halalkan. Tak ada dendam pun. Makcik cuma suka berniaga seperti orang lain juga," kata Cik Mun.