Azwan Ali guna logo Gajah untuk bertanding, namun netizen tidak setuju dia bertanding di PRU14


Nama selebriti kontroversi Azwan Ali kembali sensasi setelah menyatakan hasratnya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). 

Ketika ditemubual oleh wartawan Sinar Harian, Azwan menyatakan hasratnya untuk bertanding di DUN Bukit Antarabangsa bagi menentang penyandang yang juga merupakan abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Azwan yang akan bertanding sebagai calon Bebas menggunakan peruntukkannya sendiri mengesahkan bahawa dia akan menggunakan logo Gajah. 

"Saya akan bertanding sebagai calon Bebas, sebab apa saya ke sana kerana saya yakin rakyat di Bukit Antarabangsa muak dengan janji palsu Azmin Ali," katanya.

Dalam pada itu ketika ditanya taruhan terbaiknya untuk penduduk di Bukit Antarabangsa, Azwan menggariskan lima aku janji untuk mereka sekiranya dia diberi mandat di PRU14 ini.

"Antaranya, konsep turun padang tiap hari demi rakyat; hapuskan politik rasuah serta merta; masalah air Selangor diselesaikan secepat mungkin; rumah mampu milik untuk rakyat dan kerap sesi sedekah bersama rakyat," katanya.

Sementara itu ketika ditanya tahap keyakinan beliau untuk meraih undi di kerusi berkenaan, Azwan menjelaskan, beliau tidak kisah sekiranya beliau hanya mendapat satu undi.

"Saya telah selesai urusan di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jadi ini membuktikan bahawa saya serius untuk bertanding. Saya tetap yakin, walaupun satu undi, saya okay, ia sudah cukup berharga bagi saya meskipun hilang wang pertaruhan, itu duit saya bukan duit anda," katanya.


Di PRU13 lalu, Azmin memenangi kerusi DUN Bukit Antarabangsa dengan jumlah undi sebanyak 16,502 menewaskan calon BN, Mohamad Nazim Ibrahim yang memperoleh undi sebanyak 12,458.

Sementara itu, di media sosial, netizen mula mengecam dengan keputusan yang telah dibuat oleh Azwan. Bagi mereka, isu perbalahan dengan keluarga tidak perlu dipolitikkan. PRU bukan satu medan untuk menunjukkan kepentingan diri masing-masing, tetapi satu tiket tanggungjawab untuk menentukan masa depan rakyat jelata.

“Pada pandangan saya PRU merupakan perkara serius kepada rakyat, untuk menentukan arah tuju negara dalam masa lima tahun akan datang. Ianya bukan perkara remeh atau bagi maksud membalas dendam. Maaf sekadar pandangan peribadi,” kata netizen.

“Inikah bakal pemimpin yang ingin  ditampilkan Malaysia atau pun kerajaan?? Pemimpin yang tidak boleh pisahkan hal keluarga dan kerja, pemimpin yang mempunyai sifat balas dendam terhadap darah daging sendiri, yang juga tidak menghormati orang lain, yang hanya tahu mencari kesalahan orang lain daripada membaiki salah diri sendiri, yang merendahkan orang lain, yang tak senang hati atas kesenangan orang lain, yang sentiasa keliru dan goyah. 

“Kalau macam ini barisan pemimpin masa depan Malaysia, hancurlah Malaysia. Kenapa tak tanding budak tingkatan 1 ke? Generasi muda kan lagi bagus. Ini tak cukup muda.

“Berdendam dengan abang kandung sendiri akibat merajuk tak dapat sesen atau bantuan dari abang. Gerenti hilang duit deposit atas tiket calon bebas. Self image is very important not glamour to represent the rakyat.” kata netizen lain