'Dah 6 bulan berhenti kerja demi fokus pada anak, tiada sesalan malah Allah tambahkan rezeki'


Di zaman yang ekonominya agak mencabar dan sukarnya mencari pekerjaan ini, bukanlah satu pilihan yang baik untuk berhenti kerja. Namun tidak bagi wanita ini yang nekad berhenti kerja untuk memberi fokus kepada anak-anaknya. 

Berhenti bukan sekadar berhenti kosong, tetapi ada persediaan yang dibuat sebelum itu agar dirinya tidak bosan dan mampu meraih pendapatan sampingan bagi menanggung perbelanjaan keluarga. Semoga perkongsian dari Puan Surina Shahril Rayyan ini bermanfaat untuk semua. 

DIAM tak diam, sudah enam bulan saya berhenti kerja. Alhamdulillah, selama enam bulan berhenti kerja, tiada sesalan walaupun penat berganda. Tak tipu, memang jujur kata duduk rumah penat berganda. 

Ini punch card yang terakhir di bank. Ramai cakap kagum tengok saya tak menangis di hari terakhir dan semasa memberi ucapan serta masa peluk kawan-kawan. Hehehehe! 

Jawapan saya, buat apa nak menangis untuk sesuatu yang gembira? Saya gembira berhenti kerja demi anak. Di usia saya, 32 tahun saya berhenti kerja. Lambat laa tu kan.

Saya gembira sebab dah lepas bebanan bila saya selalu EL (cuti kecemasan) anak sakit. EL anak sakit ini tak semua faham, kadang-kadang depan kita saja macam faham tetapi di belakang kita, sebakul pula kita dikeji. Ini namanya politik kerja dan di mana-mana tempat pun ada. 

Masa saya bekerja sebagai PA selama lima tahun di bank, walau kerja teruk macam mana, KPI kita tara itu saja, C. Hehehe! Ye, C, tetapi itu dah memang lumrah. Memang C itu normallah tu. Tetapi perasaan tak dihargai itu tinggi. 

Walaupun ramai yang dapat C dan C itu adalah normal kalau dapat tetapi tetap ada beza antara A dan B, betul kan? 

Jadi perlu ke berkhidmat di tempat yang tidak menghargai kita sebagai kakitangan? Moral down membuatkan kita tak ikhlas bekerja tetapi setiap bulan kutip gaji. Hehe! Jadi, untuk apa? Resign sajalah jalan yang terbaik. 

Selepas resign, boleh fokus pada anak 100%. Sengkek ke selepas resign? Jawapan saya, tidaklah. Saya semakin senang selepas resign. Allah tarik tang sana, Allah lebihkan tang sini. Allah tambah rezeki bisness saya semakin banyak pelanggan. Allah tambahkan rezeki saya anak-anak sentiasa sihat. Jadi nikmat apa yang perlu didustakan? 



Sebab itu bila Allah tetapkan, kita yakin saja dengan kuasa Dia. Duduk di rumah ini memang tiada kawan. Duduk di rumah ini adakalanya bosan tiada rakan diajak bersembang. Duduk di rumah ini asyik melayan anak-anak bergaduh, menangis, berebut barang, menjerit tetapi itu nikmat sekali saja. Benda ini kita tak boleh putar balik tahun depan. 

Jika berkemampuan, jika ada rezeki lebih, duduklah di rumah jaga anak. Tetapi cari juga pendapatan sampingan supaya kita senang hati duduk di rumah. 

Alhamdulillah saya sudah, anda bila lagi?