'Dalam satu hari je Allah tegur aku, rupanya selama ini aku berlaku zalim dengan isteri'


Sebagai seorang ketua keluarga, suami memainkan peranan penting di dalam membentuk keluarga yang harmoni. Isteri pula tugasnya hanya bukan melayan suami, malahan tugas isteri diiktiraf sebagai 'home minister'. Namun, bila sahaja si isteri mempunyai urusan yang tidak dielakkan, si suami berperanan untuk  mengambil alih tugas isteri menguruskan rumah tangga. 

Luahan seorang confessor di ruangan Kisah Rumah Tangga pada kali ini menarik minat pembaca. Dek kerana tidak mahu mengaku kalah, dia menyahut  tugasan si isteri. Pada mulanya, dia rasa mampu lakukan kerja-kerja rumah di samping menjaga anak. Ternyata dia silap, dia hanya mampu bertahan sebagai suri rumah satu hari. 

ASSALAMUALAIKUM Admin. Tolong hide profile bini aku Admin. Dia tak tahu aku pinjam ni. Ada nak kongsi sikit ni.

Isnin minggu lepas bini aku kena pergi kursus. Kursus ini, kursus  pertama dia lepas dapat kerja bulan Januari lalu. Anak-anak tak dapat dihantar kepada pengasuh, sebab pengasuh sekeluarga menghidap sakit mata. 

Perghhh! Time inilah anak sakit. Aku dah cuak sebab takut tak terhandle jaga dua orang hero itu. Anak kami boboiboy kuasa dua, kedua-duanya tengah melasak.

"Abang boleh jaga tak ni? Betul boleh ni?" soalan ini dekat 44 kali dia soal aku sebelum tidur. Aku nak jaga air muka, aku jawab "Boleh yang. Awak pergi sekejap je kan. Jangan risaulah."

Keesokan harinya, bermulalah penderitaan aku, haha! Bini aku keluar rumah seawal jam 7.00 pagi. Masa itu jugalah anak aku yang berumur lapan bulan itu bangun. Dia ni manja dengan Mamanya. Aku sampai tak tahu nak pujuk macam mana dah bila dia tak nak susu botol. Aku tak ada susu original tu, nasib baik dia nak minum pakai cawan.

Baru nak berehat, anak sulung bangun lagi haru. Habis bersepah ruang tamu. Bila aku tegur, lagi dia buat. Bila dia tumpahkan bedak bersepai depan tv, aku give up.  Aku rasa nak call bini time tu. Aku perlukan "sayap kanan ku.” Aku tengok jam baru pukul 10 pagi! Jatuhlah air muka aku baru pukul 10 pagi dah call. Tidak!


Aku tak pastilah budak-budak ni saja nak uji Papa ke atau protes Mama tak bawa sekali ke. Adoi, garu kepala aku. Macam manalah bini aku hadap benda ni setiap pagi dan setiap hari. Paling sadis aku tak sempat pun nak breakfast sebab terkejar-kejar settle dua boboiboy itu. 

Jam 2.00 petang, baru aku dapat mandi selepas anak-anak tidur. Itu pun mandi kerbau je. Tak ada mood aku nak mandi. Haha. Aku dahlah kebulur tak makan apa pun lagi. Nasib baiklah bini aku dah masakkan, tinggal nak panas lauk saja. Siap masak nasi, aku cekik macam seminggu tak makan, nasi seperiuk tu aku habiskan.

Tengok handphone, bini WhatsApp, "Abang, kawan ni ajak teman jalan mall kejap, boleh tak? Asar nanti saya balik."

Apa?! Asar..?!! 2-3 jam lagi tu.

"Tak apa yang, pergilah. Abang izinkan." ego seorang suami, padahal dah patah sebelah sayap ni.

Tiba tiba perut aku memulas pula, ini mesti kes makan lambat. Angin dah masuk. Aku baru nak memerut, kedua-dua budak itu dah bangun pula. Adoi! Ketuk-ketuk pintu toilet, yang kecik meraung macam nak bergegar satu rumah. Tak boleh jadi ni, aku tahan, masukkan balik, kejap lagi aku lepaskan semula.

Tengah pujuk anak, teringat baju dalam mesin basuh belum dijemur lagi! Jam 4.00 petang dah masa tu. Aku pergi jemur sambil dukung yang kecik. Abangnya pula memaut betis aku dan minta biskut. Kenapa bang kau minta biskut time ni?

Aku tak habis-habis tengok jam, bila nak Asar ni? Bini aku pun tak ada call, tak nak balik lagi ke? Aku dah separuh nyawa ni. Anak aku yang kecil itu duduk dalam walker depan pintu. Agaknya tunggu mama dia, sedih pula aku tengok.

Bila bini aku muncul depan pintu, anak-anak berlari memeluk dia. Masa itu aku rasa nak ikut join lari peluk mama dan bersorak, “Yeyyy mama dah balikkkk!"

Hilang penat aku tengok bini balik. Lega, bolehlah aku berehat sekejap. Tapi tak sempat berehat,  bini dah soal mcam-macam. 
  • Kenapa rumah sepah (Padahal 10 kali dah aku kemaskan mainan budak ni)
  • Kenapa baju anak kotor (Baju baru tukar la mama)
  • Kenapa adik nangis (Dah dia nak susu mama!)
  • Kenapa kenapa.. Adoi, aku malas nak jawab, penat dah. Mood pun tak ada nak layan.

Malam itu anak-anak dah tidur, bini aku picitkan bahu. Aku tak suruh pun, tapi bukan picit free je, sekali dengan ceramah free aku dapat.

"Penat kan bang, uruskan rumah dan anak-anak? Walaupun abang tak cakap, saya boleh nampak abang penat. Apa pun, terima kasih bang untuk semuanya yang Abang buat hari ni."

Simple, tetapi menusuk menikam kalbu!

Selama empat tahun berkahwin ini, aku selalu lupa nak berterima kasih dengan bini. Aku ingat dia duduk rumah semuanya okey. Jaga anak sendiri, okay, mengemas, memasak. Memang dia rajin mengadu penat, stress, tak cukup rehat, tetapi aku buat biasa saja sebab orang lain pun surirumah juga, lagi ramai anak, tak ada yang mati pun. Rupanya aku silap, silap besar!

Surirumahlah kerja paling teruk aku pernah buat. Penatnya berkali-kali ganda. Kalau pergi kerja penat juga, hadap muka ketat bos, kerja bertimbun, balik jem. Sekurang kurangnya aku boleh makan dengan tenang, memerut pun tenang tak ada orang nak ketuk-ketuk pintu, masa solat tak ada yang panjat belakang. 

Satu hari saja, Allah tegur aku. Rupanya selama ini aku berlaku zalim dengan isteri. Aku bukan jenis makan luar, aku tak pernah curang dari awal brcinta lagi. Bini aku itu satu-satunya perempuan aku kenal dan cinta. Aku tak pernah tengking, pukul dia, sayang nak mati.

Tanggungjawab zahir batin aku bagi cukup. Cuma aku kurang melayan dia punya luahan, aduan tiap hari, membebel benda yang sama tiap hari. Aku buat-buat dengar sajalah.

Korang yang bernama lelaki atau suami, kau jangan ingat kaulah paling penat. Tu kat rumah tu berkali-kali ganda penatnya. Kalau bini kau kerja, lagi zalimlah kau dari firaun kalau kau tak reti tolong bini kat rumah. Firaun bagi istana untuk bini tinggal, kau bagi rumah nak roboh pun malas tolong bini. Aku nak taubat dah ni, haha. 

Jom sayang bini masing masing, sayang bini orang tu neraka kirim salam!