'Dukun baru seminggu di pawagam, dah keluar cetak rompak' - Umie Aida

Loading...

Baru saja seminggu ditayangkan di pawagam selepas hampir 12 tahun ditangguhkan tayangan, kini timbul pula isu filem Dukun dicetak rompak.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh pelakon utama filem tersebut, Datin Seri Umi Khalsum binti Rahmad Ali atau lebih dikenali sebagai Umie Aida, yang memuat naik gambar CD cetak rompak itu di Instagramnya hari ini. 

"Isu cetak rompak dah terlalu lama kita dengar dan terbaru Dukun yang baru seminggu di pawagam, dah keluar cetak rompak," luahnya kesal. 

Dalam kenyataannya itu juga, Umie meminta orang ramai bertindak memboikot cetak rompak.

"Tak ada apa yang mampu saya minta, kecuali kita semua bersama-sama memboikot cetak rompak. Kuasa untuk menghapuskan cetak rompak hanya ada pada pengguna!

"Please, hargai industri kami. Apa akan jadi pada filem-filem akan datang kalau perbuatan tidak bertanggungjawab ini masih berleluasa?" katanya.