'Israel mempunyai hak untuk memiliki negara sendiri' - Putera Mahkota Arab Saudi


Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman membuat kenyataan dalam temuramah dengan editor majalah The Atlantic di Washington, semalam, bahawa Israel berhak memiliki negara sendiri. 

Mohammed berkata demikian ketika ditanya oleh Jeffrey Goldberg adakah masyarakat Yahudi mempunyai hak memiliki negara sendiri, sekurang-kurangnya di kawasan nenek moyang mereka. 

"Saya percaya setiap orang, di mana saja, mempunyai hak tinggal di negara mereka yang aman. Saya percaya penduduk Palestin dan Israel mempunyai hak untuk memiliki negara sendiri. 

"Namun kita perlu adakan perjanjian damai bagi memastikan kestabilan untuk semua orang dan memiliki hubungan normal," katanya. 

Mohammed juga tidak membantah jika penduduk Israel menetap bersama-sama rakyat Palestin, selain Masjid al-Aqsa dilindungi. 

Arab Saudi dan Israel tiada hubungan diplomatik yang rasmi, namun di sebalik tabir, hubungan kedua-dua negara dilaporkan semakin baik sejak beberapa tahun ini. Arab Saudi juga menjadi penaja utama dalam usaha damai Arab sejak 2002, termasuk konflik Israel - Palestin. 

Ekoran kenyataan Mohammed itu, bapanya, Raja Salman mengulangi sokongan Arab Saudi terhadap pembentukan sebuah negara Palestin. 

"Kerajaan pentadbiran diraja mengesahkan pendirian teguh terhadap isu Palestin dan hak sah rakyat Palestin kepada sebuah negara bebas dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya," katanya.