Isteri tuntut cerai, suami bakar rumah mentua

Loading...

Seorang nelayan ditahan kerana sengaja membakar rumah mentuanya kerana berang dengan tindakan isterinya yang menuntut diceraikan, lapor Harian Metro

Dalam kejadian petang semalam di Kampung Mengabang Panjang, Bukit Rakit, Kuala Nerus, suspek berusia 38 tahun berselisih faham dengan isterinya sebelum wanita itu menuntut cerai daripada suspek. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, isteri suspek yang bimbang dengan keselamatan diri dan keluarganya membuat laporan polis di Balai Polis Batu Rakit. Namun terkejut apabila mendapati rumahnya dibakar oleh suspek. 

"Wanita terbabit yang berada di balai polis terkejut apabila dimaklumkan rumahnya dibakar suspek. Mangsa bergegas pulang ke rumah dan mendapati rumahnya sudah terbakar. 

"Suspek yang berada berhampiran tempat kejadian ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Batu Rakit untuk tindakan lanjut dan pemeriksaan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya. 

Ekoran kejadian itu, enam sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak hilang tempat tinggal dan membabitkan kerugian RM50,000. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan kerana semua penghuni tidak berada di rumah.

Suspek direman selama empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau benda letupan.