'Jangan beri alasan tak mengundi, SPR dah bagi notis sebulan' - KJ

Loading...

Di kala ramai rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan 9 Mei, Rabu, sebagai hari mengundi, kerana ia dilakukan pada hari bekerja, ada juga segelintir netizen yang menyalahkan golongan berkenaan yang tidak menukar alamat mengundi mereka lebih awal. 

"Dah tahu PRU14 akan berlangsung tahun ni, kenapa tak tukar alamat mengundi awal-awal? Bila beri tarikh 9 Mei, membebel pula kata menyusahkan," kata netizen yang tidak faham dengan sikap golongan berkenaan. 

Tidak kurang juga timbul dakwaan di media sosial bahawa tarikh hari mengundi sengaja ditetapkan pada hari bekerja atas sebab-sebab kepentingan parti politik tertentu. 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menegaskan, tarikh pengundian pada hari bekerja bukanlah kali pertama dilakukan kerana pada PRU 1995 dan 1999, hari pengundian juga diadakan pada hari bekerja. 

"Ini kerana pihak yang berkuasa menentukan tarikh pilihan raya adalah iaitu SPR. Ini merupakan sebuah badan bebas yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja," katanya. 

"Janganlah terlalu cepat mengkritik dan menabur fitnah kononnya kerajaan BN mahukan peratusan rakyat keluar mengundi yang rendah. 

"Kita merupakan sebuah kerajaan yang telus dan semestinya peratusan keluar mengundi meningkat," katanya lagi. 


Sementara itu, Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin berkata, pengundi sepatutnya tidak memberikan alasan untuk tidak mengundi kerana SPR telah memberikan tempoh yang secukupnya. 

"Saya harap pengundi faham tanggungjawab mereka kerana telah diberi notis sebulan. Jadi seharusnya semua boleh mengundi. 

"Jika terikat dengan kerja, mereka perlu mengingatkan majikan mereka mengenai undang-undang untuk memberi pelepasan untuk mengundi," katanya. 

Sumber: Astro Awani