'Jangan bubuh tepung pada badan melecur!' - Doktor tegah ibu bapa sebar petua karut, anak berisiko dijangkiti kuman

Loading...

Viral di media sosial dakwaan seorang ibu kononnya kaki anaknya yang terkena air panas mendidih boleh terselamat dari melecur dan menggelembung sekiranya bahagian yang terjejas itu ditabur dengan tepung, kononnya sebagai langkah awal rawatan. 

Malah si ibu berkenaan mendakwa sudah tiga kali dia mengamalkan petua itu termasuk jari jemarinya yang pernah terkena minyak panas ketika memasak kuih donut, tidak melecur setelah ditabur dengan tepung. 

Bagaimanapun, Doktor Rusyainie Ramli menasihatkan netizen tidak mudah percaya dengan petua-petua yang tidak berasas itu dan kecederaan yang dialami berisiko dijangkiti kuman dan akhirnya memudaratkan diri. 

MELECUR, TABUR TEPUNG?

Setiap kali ada petua yang entah apa-apa ditulis oleh seorang netizen, nescaya akan dapat beribu-ribu perkongsian. Apakah tidak terlintas di fikiran mereka untuk bertanya dulu kepada ahli perubatan sebelum terus percaya bulat-bulat pada petua yang dikongsikan itu dan kemudian terus sebarkan? 

Saya pernah menulis tentang melecur ini dan saya ulang siar sekali lagi sebagai ilmu untuk netizen yang menjadi rakan di Facebook saya. Pesanan saya, sila semak fakta sebelum pantas jari itu tekan butang 'KONGSI'.


Melecur merupakan salah satu kecederaan yang kerap berlaku di rumah kita. Melecur boleh disebabkan terkena air panas, sup atau kuah atau wap yang panas yang menyebabkan kesakitan yang teramat sangat. Kulit yang melecur akan kelihatan kemerah-merahan atau menggelupas, melepuh atau bengkak. Di dalam keadaan yang lebih teruk, kulit akan kelihatan keputih-putihan. 

Sekiranya berlaku kecederaan melecur di rumah, sila ikuti langkah-langkah berikut:
  1. Alihkan anak dari punca yang menyebabkan melecur itu. 
  2. Lalukan air mengalir (suam atau suhu biasa) di atas kulit yang melecur itu sekurang-kurangnya 20 minit sehingga bahagian itu sudah tidak lagi merasa sakit. Ini bagi mengelakkan kecederaan tisu ke lapisan lebih dalam. Elakkan menggunakan ais, air berais atau sebarang krim termasuklah minyak gamat, mentega, ubat gigi dan kicap. Apatah lagi tepung gandum! Ya Allah, seksa dan naya anak kecil ini kalau kena bawa ke hospital. Macam mana nak bersihkan tepung penuh melekat satu badan untuk doktor nak buat dressing yang betul. Itu belum kira potensi jangkitan kuman yang mungkin berlaku. Kasihan anak kita. Kalau kuman merebak dalam darah dan melibatkan organ-organ penting? Komplikasinya menakutkan. 
  3. Buang apa jua pakaian atau barang persendirian seperti jam, gelang, rantai yang berdekatan dengan kulit yang melecur. Tetapi sekiranya ia melekat pada kulit yang melecur itu, biarkan.
  4. Gunakan kain selimut yang bersesuaian untuk memastikan anak kita tidak kesejukan semasa kita dalam perjalanan ke hospital atau klinik. Pastikan selimut itu tidak bergesel dengan kulit yang melecur. Sekiranya bahagian seperti tangan atau kaki yang melecur, tutup bahagian itu dengan plastik pembalut makanan yang lembut. (Cling film).
  5. Sekiranya kecederaan itu tidak teruk, rawatan ubat-ubatan seperti paracetamol boleh digunakan untuk mengurangkan kesakitan.
  6. Sekiranya bahagian muka yang melecur, pastikan anak kita duduk dan bukannya terbaring semasa dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan bagi mengelakkan bengkak teruk.  

BILA MESTI MENDAPATKAN RAWATAN DI KLINIK ATAU HOSPITAL?
  1. Bila kulit yang melecur itu saiznya lebih besar dari tapak tangan anak kita.
  2. Kulit yang melecur kelihatan keputih-putihan.
  3. Bahagian badan yang melecur melibatkan muka, tangan, kaki atau kemaluan yang telah melepuh.
  4. Melecur kulit yang melibatkan kanak-kanak yang berusia kurang 5 tahun.

PENTINGKAN KESELAMATAN DI RUMAH
  1. Jauhkan anak-anak sekurang-kurangnya 3 kaki dari peralatan seperti dapur masak, seterika dan cerek elektrik. 
  2. Elakkan anak-anak yang masih kecil daripada menyediakan makanan sendiri, minuman panas dan makanan seperti mi segera.
  3. Jangan memasak atau membawa ataupun minum air panas semasa mendukung atau mengendong anak.
  4. Pastikan tiada alas meja yang berjurai di rumah terutamanya di meja makan dan meja kopi kerana anak boleh menarik alas tersebut dan menyebabka nair panas tertumpah ke atasnya.  
  5. Jauhkan makanan atau minuman panas dari tebing meja.
  6. Apabila memasak, pusingkan pemegang periuk ke bahagian dalam menghadap dinding untuk mengelakkan anak-anak mencapai atau menarik pemegangnya. 
  7. Jangan sesekali meninggalkan masakan kita yang sedang dimasak di dapur tanpa pengawasan.
  8. Sentiasa memeriksa suhu makanan atau minuman sebelum dihidangkan kepada anak-anak.
  9. Sekiranya berkemampuan, pasang alat pemanas air untuk kegunaan mandian bagi mengurangkan risiko sekiranya menggunakan air panas yang dijerang untuk campuran mandian anak-anak kita. 

IKHTIAR ITU MESTI PADA LANDASAN ILMU YANG BENAR





Ya. Saya doktor perubatan bertauliah, beretika dan berlesen. Tidak ada agenda tersembunyi.