'Jika bukan saya yang kempen untuknya, beliau tak mungkin berjaya' - Najib kesal Shafie tikam belakang


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meluahkan rasa kesalnya terhadap Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang dianggap 'tikam belakang' ketika berucap di hadapan 14,000 penduduk Semporna dan penyokong Barisan Nasional (BN) sempena majlis pelancaran Hab Pelancongan Semporna, semalam. 

Dalam ucapannya, Najib berkata kerjaya politik Shafie tidak mungkin berputik sehingga diangkat sebagai antara tiga teraju kanan utama UMNO jika bukan kerana pertolongannya. 

"Saya tolong Shafie lagi banyak daripada apa yang dilakukan untuk Tan Sri Musa Aman. Musa sudahpun jadi Ketua Menteri ketika saya menjadi Perdana Menteri. 

"Saya 'angkat' Shafie untuk menjadi Naib Presiden UMNO dari Sabah iaitu keputusan lantikan seumpamanya dan tidak pernah dilakukan sebelum ini. Ia adalah peluang luar biasa yang dianugerahkan kepadanya. 

"Jika bukan saya yang kempen untuknya, beliau tidak mungkin berjaya," katanya. 


Katanya lagi, pelantikan Shafie sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah adalah bertujuan untuk memacu kemajuan Sabah. Malangnya Ahli Parlimen Semporna itu memilih untuk tidak melaksanakan peranan yang diberi dan enggan bekerjasama dengan pelbagai pihak. 

"Saya sudah nasihatkan Shafie berulang kali untuk bekerjasama dengan Musa, namun beliau degil dan tidak mengendahkannya.

"Saya sangat kecewa dengannya apabila beliau tikam belakang. Sakit daripada angkaranya teramat dalam sehingga menggigit tulang rusuk. 

"Masih boleh diterima andai tidak suka saya. Saya bukan suruh taat pada saya sebagai seorang individu, tetapi terhadap kepimpinan parti dan kerajaan. 

"Sudahlah bercakap tentang Shafie, ia lebih menyakitkan apabila berbicara mengenainya," katanya. 

Sementara itu, Shafie pula menegaskan beliau tidak pernah menikam belakang Najib, sebaliknya menegur depan-depan dan menjelaskan apa yang berlaku sebenarnya hanyalah disebabkan sikap keterbukaannya menegur mengenai isu 1MDB. 

"perkara ini berlaku bukan satu perkara yang dicipta atau direka, saya tidak pernah tikam belakang kerana saya tegur dia (Najib) di depan-depan. Bahkah jemaah menteri yang hadir mesyuarat kabinet beberapa kali saya suarakan tentang 1MDB. Masih hidup menteri-menteri ini. 

"Adakah saya tikam belakang bukan persoalan kawan dan sahabat, persoalan negara kita yang memerlukan pentadbiran yang cekap, amanah dan memastikan supaya hak-hak rakyat di negara ini dilindungi. 

"Maka saya berani menegur, saya berani mencadangkan mengambil tindakan terhadap 1MDB tetapi malangnya bila saya cadangkan, saya pula diambil tindakan," katanya.