Kastam sahkan Syarikat China (kontraktor projek ECRL) diberi pelepasan cukai


Ekoran viral gambar sijil pelepasan GST kepada kontraktor projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL), China Communications Construction Company (CCCC) di media sosial sejak semalam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia hari ini tampil mengesahkan perkara itu. 

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, pihaknya memberi sokongan bagi mempertimbangkan pelepasan oleh Kementerian Kewangan kepada CCCC. Ini kerana ECRL adalah projek yang melibatkan dua kerajaan yang membabitkan kepentingan awam. 

"Ia bagi mengurangkan kos projek yang berorientasikan kemudahan awam. Secara amnya, pelepasan ke atas syarikat ini (CCCC) bagi memastikan projek strategik ECRL dapat dilaksanakan dengan jayanya serta memberi manfaat besar kepada rakyat secara keseluruhannya," katanya. 

Subromaniam berkata, pelepasan itu dibuat selepas mengambil kira faktor faedah pinjaman yang ditawarkan adalah lebih baik daripada kos GST. 

"Syarikat itu juga tidak dibenarkan menuntut apa-apa bayaran pulangan balik (refund) GST," katanya. 


Terdahulu, Naib Presiden Amanah, Husam Musa, memuat naik sijil pelepasan GST itu yang menyatakan ia diberikan di bawah Seksyen 56(3)(a) Akta Cukai Barang dna Perkhidmatan 2014 yang menyatakan kuasa menteri kewangan untuk memberikan pelepasan berkenaan yang berkuat kuasa pada 26 September 2016. 

Subromaniam berkata lagi, sistem GST memang mempunyai mekanisme untuk mengurangkan impak cukai itu kepada golongan yang disasarkan.

"Kastam dari semasa ke semasa akan akan mempertimbangkan permohonan pelepasan kepada syarikat yang memohon serta layak," katanya lagi.

Kerajaan sedang membiayai projek kira-kira RM60 bilion itu menerusi pinjaman mudah dari Bank Eksport-Import China dan hutang yang diperolehi dalam pasaran bon.

Dibina sepanjang 600km, ECRL akan menghubungkan Pelabuhan Klang dengan bandar-bandar utama di pantai timur Semenanjung Malaysia termasuk Kuantan, Kota Bharu dan Kuala Terengganu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menggesa kerajaan membuat kajian semula terhadap pelepasan GST terhadap CCCC bagi menjaga sensitiviti rakyat. 

Menurutnya, isu itu bukan sahaja menimbulkan rasa kurang senang rakyat, malah menimbulkan persepsi yang negatif kepada kerajaan yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN). 

"Pada pendapat saya, jika projek itu besar, mengapa dikecualitkan GST? Pada masa sama, perkara lain melibatkan rakyat biasa sampaikan hendak keluar duit daripada bank pun dikenakan GST. 

"Secara peribadi, alasan itu tidak kukuh dan saya mohon Kastam kaji balik memandangkan isu sebegini pastinya menimbulkan rasa kurang senang rakyat," katanya.