Kerajaan setuju lanjutkan perkhidmatan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai Peguam Negara hingga 2K21

Loading...

Perkhidmatan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai Peguam Negara telah dilanjutkan tiga tahun lagi sehingga 2021.

Mohamed Apandi, 68, berkata, penggal kedua perkhidmatannya akan berkuatkuasa sejurus tamat penggal pertamanya pada 27 Julai 2018.

“Penggal baharu ini akan tamat pada 27 Julai, 2021,” katanya menerusi pesanan WhatsApp ketika diminta mengesahkan pelanjutan perkhidmatannya itu.

Ditanya perasaannya setelah kerajaan bersetuju melanjutkan perkhidmatannya Mohamed Apandi berikrar akan memastikan kedaulatan undang-undang di negara ini dan ke arah itu beliau akan bekerjasama rapat dengan mereka yang berkepentingan dalam menegakkan keadilan bagi keamanan dan keharmonian negara.

Mohamed Apandi yang berasal dari Kelantan dilantik sebagai Peguam Negara pada 27 Julai 2015 menggantikan Tan Sri Abdul Ghani Patail yang perkhidmatannya ditamatkan atas sebab kesihatan.

Beliau menerima Bachelors of Law daripada University of London pada 1972 dan setahun kemudian  memperolehi barrister-at-law daripada the Inner Temple, London.

Mohamed Apandi memulakan karier sebagai majistret di Mahkamah Majistret  Kuala Terengganu pada 1973 dan pada 1975, beliau dilantik sebagai Pengarah Biro Bantuan Guaman di Kota Bharu Kelantan.

Beliau merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan  sebelum dilantik sebagai Peguam Negara.

Setelah dilantik sebagai Peguam Negara, penampilan pertama Mohamed Apandi di mahkamah ialah pada 30 Jun 2016 apabila beliau mengetuai pasukan  pendakwa dalam kes rasuah melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan wanita Phang Li Koon di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Beliau juga mengetuai pasukan dalam rayuan kerajaan terhadap keputusan mahkamah  yang mengisytiharkan Seksyen 3(3) Akta Hasutan 1948 sebagi tidak berperlembagaan dalam kes Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Sri Muda Shuhaimi  di Mahkamah Persekutuan pada 22 Februari 2017.  - Bernama