'Kesan gigitannya, sangat sakit tak terkata' - Tengah mop lantai, kaki disengat lipan 6 inci


Seorang suri rumah cedera di bahagian kaki kiri akibat digigit serangga berbisa ketika sedang membersihkan dapur di rumahnya. Noor Nizah Amir, tidak menyangka di sebalik mop yang dipijaknya itu terdapat seekor lipan yang bersembunyi menyebabkan kakinya digigit dan mengalami pendarahan. 

Menurut Noor, sekiranya dia lambat mendapatkan rawatan di hospital, mungkin kesannya akan menjadi lebih teruk. Noor menasihatkan orang ramai tidak memandang ringan kes-kes yang melibatkan sengatan serangga berbisa kerana jika tidak dirawat, ia boleh memudaratkan dan membawa maut. 

TIGA hari lalu, kaki saya digigit lipan besar. Masa itu saya baru habis masak makan malam, nak mop lantai dapur yang basah. Saya pijak tali mop tanpa menjangka serangga ini ada di sebaliknya dan terus dia menggigit kaki kiri saya sebelah kelingking jari kaki. 

Saya menjerit kesakitan dan dalam masa yang sama saya tendang dan serangga ini terbang ke bawah singki. 

Saya tidak tahu serangga apa yang menggigit kaki saya pada masa itu. Saya pergi ke ruang tamu dengan anak-anak yang sedang makan malam. 

Banyak juga darah yang keluar dan anak lelaki saya dengan gementarnya memanggil ayahnya yang sedang mandi di dalam bilik mandi. 


Suami saya keluar dengan segera untuk melihat keadaan saya. Saya meminta suami untuk periksa bahagian bawah singki untuk melihat serangga apa yang menggigit kaki saya. 

Rupa-rupanya seekor lipan yang panjangnya 5-6 inci, setengah inci lebar. Kesan gigitannya sangat sakit dan tak terkata pada waktu itu. 


Sementara menunggu suami siap mandi, saya bertanya pada rakan-rakan di group WhatsApp apa yang saya perlu lakukan. Mereka sarankan saya pergi mendapatkan rawatan di hospital dengan kadar segera sebab banyak kesannya jika lambat mendapatkan suntikan. 

Sampai di bahagian kecemasan, saya terus dibawa ke bilik untuk disuntik dengan tiga jenis ubat agar bisa serangga itu tadi tidak merebak dengan pantas ke jantung. Itupun bergantung pada tubuh badan kita juga. 


Hal-hal yang melibatan sengatan binatang berbisa seperti ini tidak boleh dipandang ringan. Bisa lipan besar sama juga bahayanya seperti ular juga. 

Alhamdulillah hari ini kesakitan itu sudah reda, cuma kesan gigitan itu semakin bengkak dan kegatalan sedikit. Semoga kita sentiasa berhati-hati.